Khamis, 21 September 2017 | 8:05am

Margaret River tawar aktiviti menyeronokkan

LAZIMNYA, nama Margaret River di Australia pasti membawa pemikiran umum kepada wain dan ladang anggur.

Bagaimanapun, siapa sangka kawasan memiliki pemandangan menawan dan beriklim baik itu turut menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjungnya.

Di sana, pengunjung berpeluang melakukan aktiviti menunggang kuda, menyelam dan snorkeling, berkayak, mendaki, bermain payung terjun serta mendaki batuan.


TAMAN negara Albany, Australia.


PEMANDAN dari atas Teluk Bunker, Naturaliste, Australia.

Terdapat kumpulan di Jesters Flats yang menawarkan rangkaian lawatan berkuda, sesuai dengan semua tahap penunggang, malah pengunjung juga diberi pilihan sama ada mahu menunggang pada waktu senja, di kawasan liku desa atau kembara pakej Bushman yang pasti menyeronokkan.

Jika teringin menjadi seorang 'Jackaroo' iaitu nama jolokan bagi petani Australia yang bekerja di kawasan pedalaman dengan bebiri atau lembu, cubalah Drover Tour yang membolehkan pelancong melalui pengalaman kehidupan seorang petani Australia, selain berpeluang menunggang lembu.

Sekolah memandu Mirvale berhampiran Yallingup turut menawarkan pembelajaran untuk menunggang kuda untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.


PEMANDANGAN yang pasti menjadi kenangan di Cape Naturaliste.


JETI Busselton, Australia.

Pengunjung yang berminat dengan aktiviti mendaki berpeluang melalui sendiri laluan 'Cape to Cape Track' yang menjanjikan pemandangan mengagumkan termasuk pantai, hutan, pembentukan batuan, cerun dan bebunga liar bertaraf dunia.

Trek sepanjang 132 kilometer (km) itu ialah laluan pesisir terpanjang di Australia dan terletak di sepanjang pantai dari Cape Naturaliste di utara ke Cape Leeuwin di selatan.

Ada juga laluan jalan kaki dalam hutan yang menarik dari pusat bandar Margaret River iaitu Rotary Park atau boleh mencuba perjalanan pergi balik sejauh 15 km ke Ten Mile Brook Dam.


PELADANG Australia menunggang kuda.


AKTIVITI memancing di Jeti Busselton, Australia.

Bagi penggemar sukan air, lokasi paling sesuai adalah berkayak di Margaret River Mouth, Prevellly dengan pelbagai gaya boleh dilakukan bagi menerokai ketenangan sungai.

Kawasan berkayak paling popular di Margaret River pastinya di Bushtucker Tours kerana ia memberi peluang pengunjung meneroka kepelbagaian alam semula jadi dan ekosistem di wilayah ini.

Tidak cukup dengan itu, ada juga aktiviti selaman skuba dan snorkeling yang membolehkan pengunjung menikmati arus sejuk dan panas bercampur di Cape Leeuwin, kawasan yang menemukan Lautan Hindi dan Pasifik, selain melihat pelbagai spesies marin yang sukar didapati di perairan lain.


TELUK Marina, Busselton, Australia.


PENGUNJUNG dapat bermesra dengan ikan pari di Hamelin Bay, Australia.

Di kawasan itu juga, pengunjung boleh melihat sendiri tiga kapal karam di tiga lokasi bermula di Albany (kapal karam HMAS Perth 11), kemudian ke Dunsborough (kapal HMAS Swan) seterusnya ke kapal karam Lena di Bunbury.

Pengunjung juga berpeluang menyelam di Bremer Bay untuk melihat sendiri naga laut, selain ke Jeti Bussleton yang juga antara tapak selaman terumbu buatan terbaik di Australia.


IKAN paus di Busselton, antara tarikan yang menggamit pengunjung.


Aktiviti berkayak menerusi Sungai Margaret, Australia.

Kepada yang mahu menyaksikan panorama pesisir pantai lebih indah dari atas, cubalah payung terjun dengan Southern Skydivers. Ia bermula dari Busselton sebelum mendarat di pantai.

Selain terjun udara, anda juga boleh menikmati penerbangan mengelilingi Geographe Bay, Cape Naturaliste dan wilayah wain Margaret River selama 20 minit.

Biar pun Australia Barat sinonim dengan keindahan pantainya, kawasan di sana turut memiliki cerun atau lokasi pendakian yang mencabar.

Rangkaian cerun di Wilyabrup menawarkan aktiviti pendakian menarik di wilayah ini, selain di Moses Rock yang lebih rendah berbanding Wilyabrup serta baik untuk pendaki baharu; Wallcliffe, Gracetown Crag dan Bob's Hollow.

Dengan jarak hanya dua jam setengah dari Perth melalui darat, amat mudah bagi pengunjung memasuki wilayah Margaret River dan menikmati percutian menyeronokkan.

565 dibaca
TAPAk perkhemahan di Taman Negara Warren, Australia.
MENYUSURI denai Cape to Cape di Pantai Injidup, Australia.
CASTLE Rock, Australia.
PEMANDANGAN dari Rumah Api Leeuwin, Australia.
SUASANA matahari terbenam yang mengagumkan di Sugarloaf Rock, Taman Leeuwin Naturaliste, Australia.
SUASANA matahari terbenam Hamelin Bay, Augusta.
GUA Ngilgi, Yallingup.
PEMANDANGAN berdekatan Busselton, Australia.
AKTIVITI menunggang kuda di Australia.
AKTIVITI kayak di Sungai Warren turut menarik minat kanak-kanak.
TAMAN Negara Northcliffe, Northcliffe.
RUMAH api Naturaliste, Dunsborough.
RUMAH api Leeuwin dibina pada tahun 1895.
Sebuah restoran di Vasse Felix vineyards, Cowaramup, Australia.
Berita Harian X