Ahad, 10 September 2017 | 8:01am

Makan angin sambil mengenali tuntung di Bota Kanan


PENGUNJUNG leka melihat anak-anak tuntung makan sayur-sayuran yang diletakkan dalam tangki ternakan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PERNAHKAH anda mendengar haiwan tuntung? Percayalah ramai yang tidak tahu dan mengenali rupa serta kehidupan haiwan ini.

Penulis sendiri pada mulanya berasa agak janggal apabila salah satu acara pengembaraan ini adalah melawat tuntung di pusat pemeliharaan yang terletak di tebing Sungai Perak, daerah Bota Kanan.

Inilah sebahagian daripada destinasi yang dikunjungi ketika menyertai ekspedisi Sumber Air Negara 2017 di Sungai Perak, baru-baru ini.

Penulis dan beberapa rakan yang mengikuti ekspedisi ini masih keliru perbezaan antara tuntung, kura-kura dan penyu. Macam serupa tapi tak sama.

Tuntung tergolong dalam kumpulan reptilia seperti penyu, labi-labi dan kura-kura. Habitat utamanya adalah di perairan air payau. tuntung juga dikategorikan sebagai spesies labi-labi air tawar yang telurnya boleh dimakan.


BANYAK maklumat perihal tuntung boleh diperoleh di bilik pameran. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Santapan istimewa kerabat diraja

Nama saintifik bagi tuntung atau tuntung sungai ialah batagur baska, manakala tuntung laut (callagur borneoensis).

Sebaik bot peserta ekspedisi mendarat di kawasan tebing Sungai Perak dikenali Pasir Telur iaitu lokasi tuntung mendarat dan bertelur, kami dibawa melawat ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung), iaitu habitat semula jadinya yang landai, tinggi dan berpasir.

Musim tuntung bertelur adalah antara November hingga Februari. Tuntung mempunyai kaitan rapat dengan masyarakat di Asia Tenggara. Di Kemboja, tuntung dikenali sebagai Penyu Diraja kerana daging dan telurnya yang dijadikan santapan istimewa kerabat Diraja.

Kewujudan tuntung di Perak bermula apabila Sultan Perak bertandang ke Kedah dan dihadiahkan sepasang tuntung. Sultan Perak memelihara tuntung di selat Bota Kanan dan hari ini sekitar kawasan berkenaan dibangunkan menjadi Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung).


POPULASI tuntung di Malaysia mengalami kemerosotan, berada dalam keadaan terancam dan hampir pupus. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Spesies hampir pupus

Populasi tuntung di Malaysia mengalami kemerosotan, berada dalam keadaan terancam dan hampir pupus.

Projek pembiakan tuntung di Pusat Konservasi Hidupan Liar, Bota Kanan dibuka pada tahun 1978 bertujuan melindungi, memelihara dan memulihara populasi tuntung serta habitatnya.

Sebaik mengetahui fakta berkenaan, peserta ekspedisi begitu teruja melihat anak-anak tuntung yang ditempatkan dalam beberapa tangki air yang dijadikan akuarium dan dibiarkan berenang bebas. Mereka tidak melepaskan peluang memberi sayur-sayuran segar kepada anak tuntung yang dilihat berebut-rebut menikmati hidangan 'makan petang'.

Situasi berkenaan sekali gus mampu menjadikan Bota Kanan sebagai produk pelancongan popular khususnya bagi pengembara yang berminat dengan reptilia semakin pupus.


PUSAT pemuliharaan tuntung di Bota Kanan berpotensi menjadi produk pelancongan di negeri Perak. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

FAKTA NOMBOR

80 tahun - Jangka hayat tuntung

30 biji - Setiap kali bertelur

112 hari - Tempoh penetasan

INFO

  • Mengikut mitos, Bota adalah binatang berbisa. Apabila digigit bota, tulang manusia hancur berkecai. Bota bertanggungjawab mengawal keselamatan Sultan Perak, akhirnya wujud nama daerah Bota.
  • Versi lain mendakwa Bota adalah gergasi keluar pada waktu senja. Bota berwarna kelabu amat menggemari kanak-kanak yang tidak memakai seluar. Kawasan gergasi sering dilihat dinamakan Bota.
  • Kesultanan Melayu Kedah dan Perak menjadikan telur tuntung sebahagian daripada santapan Diraja. Pada penghujung abad ke-19, kampung di sepanjang Sungai Perak mengadakan pesta telur tuntung.


PUSAT perlindungan di Bota Kanan, pikat pelancong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
846 dibaca
Berita Harian X