;
Sabtu, 28 April 2018 | 4:52pm
BINTANG utama Pulang, Remy Ishak dan Puteri Aishah pada majlis pelancaran novel yang diangkat daripada filem berkenaan di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
REMY Ishak teruja menjayakan watak utama filem Pulang terbitan Primeworks Studios. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pulang mampu angkat martabat filem tempatan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Remy Ishak, memuji naskhah terbaru arahan Kabir Bhatia, Pulang, yang dianggap mampu membawa filem tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, beliau memberikan pujian bukan kerana ia filem lakonan sendiri, sebaliknya Pulang memberikan impak besar ke atas penonton.

"Ia sememangnya sebuah naskhah yang layak dipuji. Apabila saya menontonnya, impak filem ini dirasakan kuat sekali. Saya cuba meletakkan diri ini sebagai khalayak ketika menontonnya dan memang saya boleh rasakan apa yang pengarah cuba sampaikan.

"Pulang sebuah karya yang berkisar pada cinta suami isteri, hubungan kekeluargaan dan pengharapan. Ia berkaitan dengan kehidupan kita. Jadi, penonton akan mudah memahami isi yang cuba diketengahkan, iaitu komunikasi, kesefahaman dan nilai pengorbanan. Perkara itulah yang selalu kita abaikan dalam kehidupan hari ini," katanya.

Secara peribadi, bintang Kekasih Paksa Rela itu berasakan syarikat penerbitan filem terbabit, Primeworks Studios, mampu membawa industri perfileman negara ke peringkat berbeza bersama produk sebegitu.

"Dari segi teknik imejan janaan komputernya (CGI) juga, saya rasa orang ramai akan menghormati hasil kerja tenaga produksi filem ini," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran novel filem terbabit, di sini.

Buku berkenaan dihasilkan oleh novelis terkenal, Lily Haslina Nasir, manakala skrip filem itu pula hasil tulisan Mira Mutaffa.

Sebanyak 8,000 naskhah cetakan pertama Pulang, hasil kerjasama Primeworks dan Penerbitan Karyaseni, menampilkan aktor terbabit di muka depannya.

Ia kini boleh didapati di pesta buku yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bakal berada di rak kedai buku terkenal pada pertengahan Mei, novel itu juga boleh dibeli menerusi aplikasi Karyaseni dan Lazada.

Kata Remy atau nama sebenarnya, Mohamad Zalimie Ishak, 36, secara kebetulan, perjalanan cerita filem yang dilakonkan bersama Puteri Aishah itu ada kena mengena dengan keluarganya.

Katanya, Pulang diinspirasi daripada kisah hidup datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, iaitu Othman.

"Pulang bercerita mengenai seorang kelasi, Othman, yang merantau bagi berusaha memberikan kesenangan kepada isterinya, Che Thom. Kebetulan, beliau ialah kenalan datuk saudara saya yang pernah bekerja sebagai kelasi.

"Apabila membaca skripnya, bulu roma saya meremang kerana Izham ada memberitahu, dia pernah berjumpa dengan Chief of Malay Sailor Club. Saya tahu, datuk saya adalah orang yang mengusahakan kelab itu di Liverpool," katanya kepada BH Online.

Pulang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara selepas Aidilfitri nanti.

2167 dibaca
Berita Harian X