Khamis, 4 Januari 2018 | 4:59pm
DWAYNE Johnson beraksi dalam filem pecah panggung, Jumanji: Welcome to the Jungle.

The Rock terhutang budi dengan peminat Malaysia

KUALA LUMPUR: Bintang Hollywood, The Rock, mengakui Malaysia menyimpan kenangan indah dalam hidupnya ketika aktif sebagai ahli gusti bermula akhir era 1990-an.

Pemilik nama sebenar Dwayne Douglas Johnson, 45, itu berkata negara ini sangat istimewa kerana pada awal kerjaya dalam arena sukan berkenaan, beliau pernah berada di sini.

"Malaysia, anda berada di tempat istimewa dalam hati saya. Saya dan Malaysia sudah 'kenal' lama sejak zaman gusti dulu. Ada pertarungan yang tidak dapat dilupakan di sini (Kuala Lumpur).

"Selamanya saya berterima kasih atas sokongan anda semua," katanya menerusi video khas yang dikongsikan bersama 98.1 juta pengikutnya di Instagram, kelmarin.

Sekali gus, ucapan di laman sosial berkenaan menjadi tanda terima kasih beliau kepada peminat tempatan di atas kejayaan filem lakonannya, Jumanji: Welcome to the Jungle.

Filem aksi komedi terbabit disenaraikan sebagai filem ketiga terlaris dengan kutipan hampir RM50 juta di negara ini ketika ia baru memasuki minggu kedua tayangan.

"Terima kasih Malaysia! Jumanji sudah menjadi filem ketiga terlaris, mungkin nanti boleh jadi filem terlaris, siapa tahu? Teruskan menonton Jumanji. Malaysia, saya sayang anda semua," katanya lagi.

Selain Malaysia, Johnson turut memuat naik video terima kasihnya kepada peminat di Indonesia, Mexico, China, Korea Selatan, Jepun, Jerman, Russia, New Zealand, Australia, Perancis dan United Kingdom.

Jumanji: Welcome to the Jungle arahan Jake Kasdan yang berkisar empat remaja 'terbang' ke dalam permainan video ialah judul susulan kepada filem yang diterbitkan pada 1995 lakonan Robin Williams.

Beliau yang membawakan watak lelaki gagah dan tangkas bernama Dr Smoulder Bravestone turut bergandingan dengan nama besar lain termasuk Jack Black, Karen Gillan, Kevin Hart dan Nick Jonas.

Secara kasar, filem terbabit sudah mengutip kira-kira AS$338 juta atau RM1.36 bilion di seluruh dunia.

4458 dibaca
Berita Harian X