Selasa, 3 Oktober 2017 | 8:21pm
Pengarah filem dan drama, Z Lokman.

Tiada hebahan, promosi antara punca tak laku

PELABURAN dalam industri perfileman dianggap suatu percaturan. Filem komersial popular disokong pelbagai aspek baik daripada penceritaan, skrip, pengarahan, lakon layar dan barisan pelakon.

Namun, segah mana pun karya diangkat, tanpa sokongan promosi atau hebahan, filem yang ditayangkan belum pasti mendapat sambutan.

Dalam senario industri perfileman tempatan, penerbit filem 'otai' mengakui cita rasa penonton di Malaysia sukar diramal. Ada kalanya, filem yang memaparkan jalan cerita yang jarang dipapar mendapat perhatian.

Pengulangan cerita mahupun genre seperti seram, komedi mahupun drama dalam filem kadang kala diakui membosankan penonton hingga memberi kesan kepada kutipan tiket.

Tidak syak lagi, memastikan filem berjaya di pawagam, penerbit perlu menyediakan bajet untuk kempen atau promosi karya mereka.

Hebahan melalui media sosial mahupun aktiviti lain termasuk siri promosi di televisyen (TV) atau media cetak, diakui mampu membantu filem 'meledak' apabila ditayangkan.

Sekadar mengutip RM4,090, filem Mendidih Bro yang diarah Z Lokman dikatakan gagal berikutan kurangnya promosi atau hebahan dibuat produksi.

Perkara itu diakui Z Lokman yang turut mendakwa pemberian dana khas untuk penerbit filem komersial menjadi punca lambakan filem tidak berkualiti.

"Pada anggaran saya, 80 peratus daripada filem yang gagal di pawagam disyaki sudah mengaut keuntungan sebelum filem ditayangkan.

"Sejak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memperkenalkan dana khas atau geran, semakin banyak 'orang baharu' muncul sebagai penerbit.

"Mereka sebenarnya datang dari latar belakang bidang kerja berbeza. Mereka sekadar mahu mencuba nasib menjadi penerbit kerana adanya dana atau geran.

"Akhirnya, pawagam kita dilambakkan dengan pelbagai filem, baik yang berkualiti mahupun tidak bermutu. Ini akhirnya menimbulkan persepsi tidak baik khalayak terhadap karya tempatan terutama filem Melayu," katanya kepada HIP.

Z Lokman mendakwa, biarpun banyak filem tempatan dilaporkan gagal di pawagam, penerbit sebenarnya terlebih dulu meraih untung.

"Jangan cakap mereka tidak untung. Berapa banyak dana yang sudah dikeluarkan kerajaan, kenapa hasilnya tidak seperti yang dijanjikan? Saya tahu antara dana yang disediakan FINAS termasuk pembangunan, produksi dan promosi," katanya.

Berbalik kepada filem Mendidih Bro, Z Lokman mengakui, dia tidak mendapat dana atau geran daripada FINAS untuk menghasilkan karya itu.

"Saya akur dengan kegagalan filem Mendidih Bro yang tidak memperoleh dana FINAS. Kegagalan itu disebabkan tiadanya promosi," katanya.

Namun, Z Lokman berkata, FINAS setidak-tidaknya boleh menimbang meluluskan dana promosi untuk dimanfaatkan bagi menjamin buah tangannya itu laris di pawagam.

"Saya cadangkan dana dan geran FINAS ini dikawal ketat melainkan dana promosi yang diperlukan penerbit," katanya.


Filem Mendidih Bro yang diarah Z Lokman dikatakan gagal berikutan kurangnya promosi atau hebahan dibuat produksi.

Pencuri Hati Mr Cinderella bukan filem 'buruk'

Bagi pengarah filem Pencuri Hati Mr Cinderella, Ahmad Idham, dia lebih risau jika kualiti karyanya dikritik, berbanding soal kutipan rendah.

Sehubungan itu, beliau tidak melihat filem terbaharu yang menggandingkan dirinya bersama Haliza Misbun itu gagal biarpun sekadar mengaut RM18,000.

"Sebelum menggarap filem ini, saya buat kajian sendiri. Diakui peminat teruja menonton filem ini sebagai kesinambungan daripada drama Cinderella yang disiarkan kira-kira 20 tahun lalu.

"Ketika majlis pratonton yang dihadiri wartawan dan penggiat seni, saya mendapat ulasan yang baik. Bagi saya, ia sudah dianggap suatu kejayaan untuk filem ini.

"Maklum balas daripada penonton juga baik. Mereka tidak melihat filem ini 'buruk'. Namun, saya akui, ia bukannya filem yang sempurna, sebaliknya ada kelemahannya tersendiri," katanya.

Idham juga mengaku kekurangan promosi menyebabkan filem itu gagal mencatat kutipan tinggi.

"Filem ini hanya ditayangkan di 33 pawagam di seluruh negara. Jadi, sukar untuk membandingkan dengan filem yang ditayang hingga 100 pawagam. Saya sudah sedar risiko besar yang bakal dihadapi.

"Saya tidak mengeluarkan bajet tinggi untuk promosi kerana kekangan kewangan. Tapi saya mendapat kerjasama daripada pihak media yang membantu mempromosikan filem ini," katanya.


Pengarah Filem dan Pengasas AIFA (Ahmad Idham Film Academy), Ahmad Idham Ahmad Nadzri di Kota Damansara. - Foto NSTP/Shiraz Ali

Boleh jual kepada stesen TV

Idham menambah, kewujudan platform seperti Astro First dan iflix juga membantu penerbit mendapatkan kembali keuntungan daripada kos penerbitan.

Katanya, filem itu juga boleh dijual kepada stesen TV untuk disiarkan kelak.

"Ada penonton yang tidak sempat menontonnya di pawagam. Ada yang menyedarinya selepas tamat tempoh tayangan. Jadi, kewujudan platform ini membantu penerbit untuk menjual filem mereka.

"Malah, ada sesetengah filem mendapat kutipan lebih tinggi di saluran itu berbanding ditayangkan di pawagam. Sebagai 'orang lama' dalam industri, saya sudah melihat aspek ini terlebih dulu sebelum menghasilkan sesuatu filem," katanya.

Ikuti ulasan persatuan perfileman dalam siri ketiga, esok

2623 dibaca
Berita Harian X