Khamis, 28 September 2017 | 1:25pm
PARA pelakon Teater muzikal Charlie Brown.

Charlie Brown beraksi di DPAC

KUALA LUMPUR: Teater muzikal daripada siri kartun terkenal, Charlie Brown akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya mulai esok hingga 8 Oktober ini.

Teater muzikal You're A Good Man Charlie Brown dipersembahkan Sifu Productions yang bukan lagi asing dalam projek pementasan teater di Malaysia.

Pementasan itu membariskan enam pelakon tempatan seperti Joel Wong, Benjamin Lin, Tria Aziz, Safia Hanifah, Ivan Chan Atienza dan Izen Kong.

Mereka melakonkan karakter daripada komik berkenaan seperti Charlie Brown, Lucy Van Pelt, Sally Brown, Snoopy, Linus Van Pelt dan Schroeder.

Teater muzikal ini disokong barisan produksi profesional termasuk pengarah, Freddy Tan dengan dibantu William Yap.

Tidak ketinggalan, pengarah muzik iaitu Fly Halizor dan Loh Ui Li manakala Tunku Atiah bertindak sebagai jurutari; Amelia Tan (pereka cahaya) dan Zen Tan (pereka set).

Teater ini menyaksikan Charlie Brown bersama teman 'Peanuts', meneroka kehidupan sebenar dalam mencari kebahagiaan. Ia juga sarat dengan mesej seperti harapan dan erti persahabatan.

Sifu Productions diasaskan pada 2012 oleh Farrah Abdullah, Freddy Tan dan Safia Hanifah. Produksi ini berpegang kepada misi membawa persembahan dan mendidik masyarakat melalui kerja profesional.

Tiket teater muzikal You're A Good Man Charlie Brown dijual pada harga RM88, RM138, RM168 dan RM198. Pementasan diadakan pada sebelah malam dan waktu petang pada hujung minggu.

Peminat boleh layari www.dpac.com.my atau www.sifuproductions.com untuk maklumat lanjut.

187 dibaca
Berita Harian X