Selasa, 26 September 2017 | 1:24pm
SANGEETA merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik pada FFM ke-29. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Cheryl menangis tonton lakonan Sangeeta

KUALA LUMPUR: Guru Bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando, 32, mengaku cukup mengagumi kemampuan pelakon, Sangeeta Krishnasamy, menghidupkan watak dirinya dalam filem Adiwiraku.

Menerusi pertolongan bekas pelajarnya yang turut membintangi filem berkenaan, lakonan mengesankan Sangeeta membolehkan beliau merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29, hujung minggu lalu.

Bercakap kepada BH Online, Cheryl berkata, aktres berkenaan benar-benar berjaya melakonkan watak selain menjiwai karakter dirinya dalam naskhah terbitan Sol Pictures Sdn Bhd itu.

"Saya sendiri menitiskan air mata ketika menonton Adiwiraku. Sangeeta melakonkan watak saya dengan amat berkesan, dengan bantuan bekas pelajar saya.

"Bukan sekadar pergerakan tubuh, sebaliknya pakaian dan emosi yang diserlahkan Sangeeta cukup mencerminkan diri saya.


CHERYL Ann Fernando. - Foto fail NSTP/Mahzir Mat Isa

"Bukan mudah untuk menjiwai watak seseorang tidak dikenali dan masih hidup, tetapi dia berjaya melakukannya. Baju kurung kapas yang dipakainya dalam filem terbabit, itulah juga pakaian saya ke sekolah setiap hari," katanya.

Selain Pelakon Wanita Terbaik, Adiwiraku yang diterbitkan Jason Chong turut membawa pulang trofi Filem Terbaik dan Cerita Asal Terbaik daripada FFM kali ini.

Kisah Cheryl yang mengubah sistem pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal di Sungai Petani, Kedah, dalam mata pelajaran berkenaan menambat hati Jason untuk mengangkatnya ke layar perak.

Ia juga pada asalnya ingin dijadikan drama, namun akhirnya menemui penonton di pawagam dan seterusnya meraih pencapaian tertinggi pada FFM29.

"Asalnya, kisah saya di SMK Pinang Tunggal viral di media sosial. Apabila mendapat panggilan daripada Jason, saya tidak mengangkatnya sehinggalah dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Jason memaklumkan ingin mengangkat cerita terbabit sebagai sebuah drama. Apabila dia jumpa saya, lakaran kasar jalan ceritanya sudah ada.

"Dia juga hendak melakukan penggambaran di sekolah itu dengan menjadikan anak murid saya sebagai pelakon. Sebab itulah saya terima kerana inilah juga peluang kepada anak didik saya.

"Saya rasa Malaysia masih kekurangan filem mengenai guru. Jadi, saya bangga dan berbesar hati apabila jasa guru diangkat dalam sebuah karya. Ia bukan penghormatan untuk saya saja, sebaliknya semua guru di negara ini," katanya.

Cheryl berkata, tiada kisah yang ditokok-tambah bagi mencantikkan filem terbabit.


PENGARAH filem Adiwiraku, Eric Chong (kanan) bersama pelakon dan kru produksi meraikan kejayaan selepas diumumkan memenangi Filem Terbaik pada FFM ke-29. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Apa yang diceritakan Jason dalam Adiwiraku adalah kisah sebenar perjalanan saya di sekolah berkenaan, termasuklah juga kesusahan dan kesedihan pelajar.

"Tiada apa yang direka semata-mata bagi mencantikkan jalan cerita filem itu," katanya.

1941 dibaca
Berita Harian X