Selasa, 19 September 2017 | 1:52pm

Abang Long Fadil 2 mampu rekod pungutan tertinggi

KUALA LUMPUR: Abang Long Fadil 2 (ALF2) kini berada pada landasan tepat untuk mencatat kutipan RM17 juta apabila sejumlah lebih 100 pawagam masih menayangkan filem berkenaan selepas hampir sebulan menemui penonton.

Dengan kutipan RM16.92 juta selepas 26 hari ditayangkan, naskhah arahan Syafiq Yusof itu dilihat mampu untuk menyaingi dua lagi filem tempatan yang pernah mencatatkan pungutan melebihi RM17 juta di negara ini.

Sebelum ini, filem dengan kutipan tertinggi menjadi milik produk terbitan Astro Shaw, Polis Evo, iaitu RM17.74 juta, diikuti sebuah lagi judul keluaran Skop Production Sdn Bhd, Munafik (RM17.042 juta).


FILEM Abang Long Fadil 2 masih ditayangkan di lebih 100 pawagam selepas hampir sebulan menemui penonton.

Menurut sumber industri, ALF2 masih mendapat sambutan hangat peminat meskipun sudah memasuki minggu keempat tayangannya.

"Saya yakin, dengan sambutan membanggakan diberikan oleh penonton ketika ini, tidak mustahil filem itu mampu memecah rekod kutipan Polis Evo.

"Kutipan RM16.92 juta sehingga semalam, ditambah pula dengan lebih 100 jumlah pawagam masih menayangkan filem itu, tidak mustahil ia setidak-tidaknya akan mengatasi pencapaian Munafik dan mengejar rapat Polis Evo dari segi pungutan," katanya kepada BH Online, hari ini.

Katanya, meskipun sehingga Ogos lalu banyak filem gagal mencatat kutipan pecah panggung, sekurang-kurangnya ALF2 membuktikan industri perfileman masih memiliki khalayak penonton.

"Saya melihat pencapaian ALF2 membuka ruang untuk kita melihat persaingan lebih sihat dalam kalangan penerbit di negara ini untuk sama-sama memeriahkan kembali industri perfileman.

"Walaupun tahun ini kita tidak banyak melihat filem yang mencatat kutipan 'box office', namun jualan tiket ALF2 tetap menjadi penyumbang besar kepada kutipan keseluruhan sasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berjumlah RM75 juta, tahun ini," katanya.

Mula ditayangkan pada 24 Ogos lalu, filem terbitan Skop dengan kerjasama Astro Shaw itu membariskan bintang seperti Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Shuib, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok dan A Galak.

8490 dibaca
Berita Harian X