Isnin, 11 September 2017 | 8:03pm
DARI kanan, Shafirul, Hasan, Muhammad Abdullah dan Waris pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembikinan filem This Is Pilah antara Madness Films dan Mixology Music Malaysia.- Foto Ihsan Madness Films Sdn Bhd

MP Kuala Pilah berlakon filem

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek akan muncul sebagai pelakon jemputan dalam filem komedi berkisar Adat Perpatih berjudul This Is Pilah.

Dalam filem terbitan Madness Films Sdn Bhd itu, Hasan akan tampil sebagai diri sendiri membabitkan dua babak. Penggambaran bagi babak dijayakan Hasan akan dilakukan di Kuala Pilah, Sabtu ini.

Penerbit This Is Pilah, Shafirul Nizam Haron, berkata filem yang membabitkan kos hampir RM1 juta itu akan menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan.

"Pada majlis pelancaran bulan lalu, Hasan bersetuju membintangi filem ini berikutan lokasi penggambaran membabitkan kawasan beliau sepenuhnya.

"Kami sudah memulakan penggambaran di Kuala Pilah sejak 9 September lalu," katanya kepada BH Online.

Hasan ditawarkan berlakon ketika merasmikan Pesta Bola Merdeka Parlimen Kuala Pilah - Piala Datuk Seri Hasan Malek, bulan lalu. Pada majlis itu, single terbaharu Waris yang menjadi lagu runut bunyi bagi filem dengan judul sama, turut dilancarkan.

Selain Hasan, filem kedua terbitan Madness Films selepas Bara The Movie itu turut dilakonkan hampir semua anak jati Negeri Sembilan di bawah arahan pengarah, Rosdi Md Dali.

Shafirul menambah, pihaknya memilih penyanyi rap, Juzzthin sebagai pelakon utama yang akan digandingkan dengan penyanyi Ara yang juga anak jati Negeri Sembilan.

"Selain itu, kemunculan penyanyi, Waris dan Ito sebagai pelakon pembantu akan menambahkan lagi elemen komedi dalam filem ini," katanya yang bercadang mendapatkan khidmat kartunis Ujang dan Syamsul Debat sebagai pelakon tambahan.

Shafirul berkata, This Is Pilah mengisahkan hasrat seorang pemuda berasal dari Kuala Pilah yang mahu berkahwin dengan gadis idamannya daripada suku yang sama.

"Kami mendapatkan khidmat Undang Johol, Datuk Muhammad Abdullah sebagai penasihat dalam melakukan kajian terperinci mengenai Adat Pepatih sebelum memulakan penggambaran," katanya.

Shafirul juga berhasrat mengundang Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai pelakon jemputan.

Filem This Is Pilah ini dijangka ditayangkan awal tahun depan.

1192 dibaca
Berita Harian X