Selasa, 8 Ogos 2017 | 5:22pm
Osman Ali

Saya tak serik - Osman Ali

KUALA LUMPUR: Biarpun kecewa filem Kau Yang Satu 'bocor' di laman sosial hingga merekodkan lebih 200,000 tontonan, pengarahnya, Osman Ali tidak serik untuk terus berkarya.

Osman berkata, dia lebih bersifat positif dan terus berjuang menentang isu yang menjejaskan industri hiburan tempatan.

"Memang saya kecewa, tetapi saya tidak boleh mengalah. Kalau saya merajuk tak nak buat filem, saya yang rugi... orang tak peduli pun.

"Jadi saya perlu ambil langkah positif untuk terus membikin filem dan berjuang menentang segala penyakit sosial seperti isu ini daripada terus berleluasa," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Osman meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab memuat naik rakaman filem Kau Yang Satu secara langsung di laman Facebook peribadinya ketika menonton di pawagam.

Bagaimanapun, individu terbabit memohon maaf beberapa jam kemudian dan memadamkan video berkenaan.


Osman (tengah) bersama para barisan pelakon dari kiri, Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci pada Malam Gala Filem Kau Yang Satu di GSC Pavilion, Kuala Lumpur. - Foto Shawal Azani

Osman berkata, berikutan insiden itu, jualan tiket turut terjejas. Namun, dia bersyukur kerana pawagam menyambung tayangan filem itu bagi minggu ketiga.

"Sudah pasti jualan tiket terjejas kerana jumlah tontonan rakaman video itu sudah melebihi 200,000 tontonan.

"Mungkin dalam anggaran 50,000 penonton yang merancang ke pawagam membatalkan hasrat itu kerana sudah menyaksikannya secara percuma. Tambah pula dalam keadaan ekonomi sekarang.

"Kalau nak diikutkan, jualan tiket filem Kau Yang Satu meningkat pada minggu kedua kerana ramai yang memberi komen positif. Sayangnya peningkatan itu terhenti kerana rakaman itu," katanya.

Filem adaptasi novel yang dibintangi Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci itu mula ditayangkan di pawagam sejak 27 Julai lalu.

1028 dibaca
Berita Harian X