Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:33pm
NABILA memulakan kembara solo menjelajah Asia Tenggara dengan menaiki kereta api, malam tadi. - Foto Instagram Nanbila Huda

Nabila jelajah Asia Tenggara secara solo dengan kereta api

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda, 33, memulakan percutian jelajah Asia Tenggara secara solo dengan menaiki kereta api, malam tadi.

Katanya, percutian itu dirancang pada saat akhir, justeru dia tidak membuat banyak persediaan sebelum bertolak, termasuk hanya membawa sedikit wang poket.

Nabila berkata, dia mendapat inspirasi untuk bercuti secara sendirian kira-kira dua minggu lalu dan keputusan itu dibuat selepas mendapat restu suami, Mohd Izwan Johar, 35.

“Sudah lama sebenarnya saya menyimpan impian untuk bercuti sendirian dengan menaiki kereta api. Malah, saya merancang untuk menaiki kenderaan awam sahaja sepanjang pengembaraan ini.

“Selain itu, saya hanya membawa sedikit wang pada percutian kali ini. Saya sebenarnya cuba untuk tidak berbelanja lebih sewaktu bercuti.

“Saya bertuah kerana mempunyai suami yang memahami minat saya. Sebenarnya, sejak dulu lagi saya suka melancong sendirian dan memperuntukkan masa sebagai terapi diri,” katanya kepada BH Online.


NABILA bersama suami, Mohd Izwan Johar. - Foto Instagram Nabila Huda

Anak kepada penyanyi rock legenda, Amy Search, itu akan menjelajah beberapa negara seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam sehingga akhir bulan ini.

Bintang Munafik berkenaan turut memberitahu, dia belum menempah sebarang penginapan untuk percutian solonya itu. Tegasnya, dia tidak terlalu cerewet dalam hal terbabit.

“Saya belum membuat sebarang tempahan (tempat penginapan) kerana bercadang untuk tinggal di ‘hostel’ (asrama) sahaja. Tidak kisah, asalkan tempat yang bakal saya menginap itu bersih dan selamat, ia sudah mencukupi.

“Saya ada mengajak beberapa teman rapat untuk turut serta dalam percutian ini, namun tidak meletakkan harapan tinggi. Saya tahu masing-masing sibuk dengan kerja. Saya juga mengajak mereka pada saat akhir,” kata Nabila.

1429 dibaca
Berita Harian X