Sabtu, 29 September 2018 | 8:39pm
DATUK Jeffrydin masih aktif menghiburkan peminat pada usia yang mencecah 71 tahun. - NSTP/Asyraf Hamzah
DATUK Jeffrydin antara figura dalam bidang seni yang mudah menangkap perhatian dan cepat dikenali. - NSTP/Osman Adnan

Jadi penyanyi tidur mesti cukup - Datuk Jeffrydin

Jangan banyak fikir dan tidur mesti cukup. Itu antara petua yang diamalkan penyanyi veteran, Datuk Jeffrydin untuk terus 'berbisa' di pentas selepas kira-kira 50 tahun menjadi penghibur.

• Jaga aspek rohani dan spiritual

• Pastikan cukup tidur dan selalu bangun awal pagi

• Jangan terlalu banyak berfikir

• Naikkan nada lagu bagi menjaga suara

KUALA LUMPUR: Sejak era 1960-an, bintang veteran, Datuk Jeffrydin dilihat terus ampuh di pentas nyanyian sehinggalah ke hari ini. Tidak pernah meletakkan titik noktah dalam kerjaya seni, beliau masih aktif menghiburkan peminat pada usia yang mencecah 71 tahun.

Masih dengan imej pop yeh yeh, seperti mengenakan baju berwarna terang, Jeffrydin antara figura dalam bidang seni yang mudah menangkap perhatian dan cepat dikenali.

Namun, paling mengagumkan ramai tentu saja keadaan kesihatan dirinya dan bagaimana beliau menjaga suara, yang dilihat masih mantap selepas kira-kira lima dekad bergelar penghibur.

Berkongsi rahsia keadaan kesihatannya, Jeffrydin memberitahu, selain aspek makanan, penjagaan spiritual juga amat dititikberatkan olehnya.

“Pemakanan kena jaga dan apa yang penting, kita jangan banyak berfikir, sebaliknya selalu hiburkan hati.

“Tidur pula kena cukup. Kalau lewat tidur sekalipun, kita mesti kena bangun awal pagi. Dari situlah kekuatan dan tenaga kita datang. Ada sesetengah orang yang bangun juga lewat apabila mereka tidur lambat. Ia amalan yang tidak bagus.


DATUK Jeffrydin mengaku teruja apabila diundang menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak ABPBH Ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober depan. - NSTP/Rohanis Shukri

DATUK Jeffrydin ketika membuat persembahan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Istana Budaya pada Mac tahun lalu. - NSTP/Osman Adnan

“Dari segi penjagaan suara, saya ada amalan tersendiri. Jika menyanyi, saya akan pastikan nada lagu itu perlu ditinggikan. Kalau kita turunkan ‘key’ lagu, nyanyian kita takkan sedap. Selain itu, kenalah jaga makan dan minum.

“Impian saya adalah mahu menjadi seperti Frank Sinatra yang masih mampu menyanyi dengan baik walaupun usia mencecah 90 tahun,” kata bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Sementara itu, Jeffrydin mengaku teruja apabila diundang menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober depan.

Bukan tampil berseorangan, namun penyanyi yang terkenal dengan lagu Seruling Anak Gembala ini akan bergandingan bersama sebuah kumpulan baharu yang turut memperjuangkan muzik sama dengannya, Kugiran Masdo.

Pemilik nama lengkap Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman ini mengakui cukup teruja dengan gabungan terbabit. Pada masa sama, dia terharu apabila irama berkenaan masih digemari.

“Apabila melihat ada artis generasi baharu yang sukakan irama pop yeh yeh, bagi saya ia satu penghargaan buat kami semua. Sekurang-kurangnya kami tahu irama ini takkan pupus kerana masih ada pihak berminat untuk menyambung warisannya.

“Justeru, saya tak pernah menolak untuk digandingkan dengan mana-mana penyanyi baharu, sama ada dalam persembahan ataupun rakaman lagu. Ia juga satu cara untuk mendekati golongan muda dalam usaha mengenali muzik kami,” katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang media prakemuncak ABPBH 31 di Lambang Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.


DATUK Jeffrydin ketika membuat persembahan pada Konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Panggung Bangsawan Melaka, pada Ogos 2017. - NSTP/ Muhammad Zuhairi Zuber

Pada malam kemuncak ABPBH 31 nanti, Jeffrydin dan Masdo akan menyampaikan tiga lagu. Malah, menurut penyanyi ini, beliau sudah pun bersedia dan hanya menantikan kehadiran malam penuh bermakna itu.

“Dari segi pakaian, semuanya sudah tersedia. Begitu juga dengan persiapan lain. Jujurnya, saya sangat teruja apabila digandingkan dengan Masdo kerana muzik kami sama. Harapan saya, moga persembahan kami akan berjalan lancar.

“Saya ada beritahu mereka, jangan gusar untuk bergandingan dengan saya. Apa yang penting, mereka kena lebih bersemangat dan serlahkan aura pada malam itu. Mereka kena tonjolkan kebolehan masing-masing. Saya hanya sekadar menyokong,” ujarnya.

Berita Harian X