Jumaat, 14 September 2018 | 5:52pm
AMY dan Loque merakamkan lagu Tanah Airku Tanah Airmu Jua sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Amy, Loque bergabung rakam lagu patriotik

KUALA LUMPUR: Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Loque bergabung tenaga dengan artis rock terkemuka, Amy Search, merakamkan lagu Tanah Airku Tanah Airmu Jua.

Pernah menyanyikan lagu terbabit bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2013, Loque memberikan nafas baharu kepada karya bercorak patriotik itu untuk dipersembahkan semula bersama legenda rock berkenaan.

Kali ini, ia dirakam dalam versi lebih ‘garang’ dengan menampilkan anggota Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka daripada Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

“Tanah Airku Tanah Airmu Jua dendangan bersama pancaragam lebih membuatkan adrenalin terpompa. Boleh dikatakan, versi kali ini lebih ‘jantan’ bunyinya. Tambahan pula, kami dapat berganding bahu dengan legenda rock tanah air.

“Saya beraspirasi untuk mengembalikan semula lagu terbabit sesuai dengan semangat kita saat ini, sebagai rakyat Malaysia baharu. Ia juga diharap menjadi pesanan berguna untuk semua anggota masyarakat,” kata Loque.

Amy sendiri turut menyambut baik kerjasama antara mereka walaupun peluang berkenaan hadir pada saat akhir.

“Projek ini boleh dikatakan terhasil pada saat-saat akhir. Tiba-tiba sahaja Loque datang berjumpa dan mengajak saya menjayakan projek rakaman berkenaan. Kebetulan, ketika itu saya mempunyai waktu lapang, jadi saya cakap ‘belasah sahajalah’.

“Lagu ini diharap terus membakar semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Pemikiran kita pun harus merdeka. Kita sudah berada pada tahun 2018, jika masih di takuk lama, kita belum merdeka,” kata Amy mengenai lagu yang kini dapat ditonton di laman YouTube, selain mampu diperoleh menerusi platform digital.

261 dibaca
Berita Harian X