Jumaat, 14 September 2018 | 4:37pm
REA bersama tunangnya, Faeez daripada kumpulan Drama Band. Foto Instagram Rea.

Rea berdebar hitung hari jadi isteri

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Kool FM, Rea, berdebar menghitung hari untuk disatukan sebagai suri hati pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim, pada 18 November depan.

Pemilik nama sebenar Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad, 29, itu berkata, persiapan hari pernikahan dan majlis persandingan yang hanya tinggal dua bulan lagi banyak dibantu oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

“Kami memilih mengadakan pernikahan di Damansara, dekat sini, disusuli kenduri membabitkan kedua-dua keluarga bagi memudahkan semua saudara mara dan kenalan.

“Sebenarnya, saya terkejut apabila hasrat mengadakan majlis di ibu kota tidak mendapat bantahan ayah kerana saya fikir, mungkin dia mahu ia direalisasikan di kampung kami di Seberang Takir, Terengganu.

“Barangkali, ayah memahami ramai kenalan dan anggota keluarga kami juga berada di sekitar ibu negara, tambahan pula majlis di pihak lelaki dapat berlangsung serentak,” katanya kepada BH Online.

Menurut Rea, ketika ini persiapan untuk hari bersejarah mereka sudah pun hampir selesai.

“Jika ada pun yang perlu disiapkan, keluarga kami banyak membantu. Berdebar juga sebenarnya menanti detik pernikahan kami,” katanya yang mengendalikan segmen Muzik Kool Tanpa Henti.

Rea dan Faeez mengikat pertunangan pada Februari lalu di kediaman keluarga anak keempat daripada lima bersaudara itu di Terengganu.

Menyentuh saat perkenalan dirinya dengan pemuzik berkenaan, Rea mendedahkan, insiden pada acara promosi jelajah radio, kira-kira setahun lalu, mendekatkan mereka berdua.

“Di sebuah lokasi, saya yang menaiki bas bersama beberapa artis, termasuk Drama Band, nyaris terjatuh ketika pemandu menekan brek secara mengejut dan kebetulan Faeez berada berhampiran.

“Selepas itu, kami mula bertegur sapa dan masing-masing ada ‘tag’ gambar beramai-ramai di Instagram, hinggalah persahabatan kami menjadi erat.

“Fasa perkenalan ke alam pertunangan pula berlangsung agak pantas kerana saya katakan padanya, jika dia serius dalam perhubungan, bolehlah jumpa saya ayah saya yang garang itu. Rupa-rupanya dia sangat ‘gentleman’ apabila membuktikan keikhlasan.

“Apa pun, sepanjang setahun berkawan, saya jatuh hati dengan cara dia melayan keluarganya. Dia memang lelaki yang mengutamakan ibu bapanya,” kata Rea yang juga calon awal kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31.

1544 dibaca
Berita Harian X