Jumaat, 14 September 2018 | 10:41am
ELIZAD tidak jemu berikhtiar untuk mendapatkan zuriat. - Foto Mahzir Mat Isa

'Jangan malu berikhtiar jika mahu zuriat'

‘Jangan malu berikhtiar jika mahu zuriat’

Oleh Feride Hikmet Atak

feride.hikmet@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Elizad Sharifuddin menasihatkan wanita yang mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim atau cyst supaya segera menjalani rawatan bagi mengelak masalah lebih buruk.

Elizad, 34, berkata, wanita seharusnya membuang perasaan malu kerana langkah awal perlu supaya tidak timbul isu lain, pada masa sama berikhtiar untuk mengelak masalah lebih serius.

Pelakon filem Berlari Ke Langit dan Gangster yang baru menjalani pembedahan membuang cyst sebesar lapan sentimeter itu berkata, selain ingin memastikan tahap kesihatannya, rawatan itu dijalaninya sebagai ikhtiar untuk menimang cahaya mata.

"Jangan malu atau segan dan jika boleh, minta suami temankan supaya dia juga memahami masalah yang dihadapi. Saya sedang berusaha mendapatkan zuriat, malah sejak awal lagi, suami sentiasa di sisi untuk memberikan kata semangat.

"Saya tidak malu bertemu pakar sakit puan kerana itu juga antara usaha supaya saya dapat hamil. Lagipun, Allah suka hamba-Nya yang berikhtiar dan tidak hanya berserah kepada takdir. Alhamdulillah, suami sentiasa menyokong," katanya.

Calon awal kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 itu sebelum ini, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat empat kilogram, tiga tahun lalu dan sekali lagi melalui prosedur sama pada 6 September lalu.

Elizad berkata, ketumbuhan yang dialaminya itu juga menjadi antara faktor yang menghalangnya untuk segera mendapatkan zuriat.

Katanya, meskipun suaminya sudah dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu, sebagai wanita, dia juga mengimpikan untuk memiliki zuriat sendiri.

"Memang saya dan suami mengimpikan untuk mempunyai zuriat sendiri, malah saya sukakan budak-budak. Mereka yang mengalami masalah seperti saya, jangan risau. Dapatkan segera rawatan dan banyakkan bersabar.

“Sentiasa tanamkan dalam diri, sakit itu penghapus dosa. Kuatkan semangat dan jangan sesekali berputus asa. Selagi ada kekuatan, ikhtiar. Sentiasa yakin dengan Allah dan jangan jemu berusaha," katanya lagi.

Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015.

1956 dibaca
Berita Harian X