;
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:53pm
PENYANYI, Ning Baizura menyanyikan lagu pada majlis perlancaran restoran Tudung Periuk miliknya di Plaza Damas. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ning teruskan legasi arwah bapa

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ning Baizura terharu impian meneruskan legasi arwah bapanya tertunai apabila restoran, Tudung Periuk yang diusahakan bersama suami tercinta mula beroperasi sejak sebulan lalu.

Ning, 43, berkata arwah bapanya pernah membuka perniagaan yang sama di Shah Alam, Selangor, suatu ketika dahulu, namun terpaksa ditutup apabila tiada siapa menguruskan selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

"Tudung Periuk menyajikan masakan Melayu yang digemari semua lapisan masyarakat. Biarpun masih baharu, sambutan diberikan cukup baik. Tidak hanya masyarakat tempatan, ada juga warga asing yang turut mencuba hidangan di sini," katanya.

Ning berkata, dia dan suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton turut memanfaatkan ruang di restoran itu sebagai mini galeri yang menempatkan gambar peribadi dan kenangan sepanjang 25 tahun menjadi anak seni.

Bakal tampil dengan single, Tenang yang dimuatkan dalam album terbarunya yang akan dilancarkan selepas Aidlfitri nanti, Ning juga terharu apabila muzik video, Greatest Gift Of Love dihasilkan sebagai tanda penghargaan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat reaksi positif peminat.

Katanya, muzik video lagu ciptaan Alwyn Santiago dan lirik ditulisnya sendiri itu dimuat naik di YouTube sejak lima hari lalu untuk menyatakan sanjungannya terhadap pemimpin berkaliber yang meraih perhatian dunia itu.

"Lagu itu sudah lama ditulis dan kerap saya nyanyikan di majlis korporat. Ia ditujukan kepada pemimpin yang hebat, terutama Perdana Menteri kita kerana semangat perjuangannya yang wajar dicontohi. Saya kagum dengan corak kepimpinannya.

"Apa yang saya lakukan ini hanya sebagai tanda penghargaan terhadap kebolehannya. Alhamdulillah, sejak dimuat naik, muzik video lagu itu sudah mencatat 60,000 jumlah tontonan," katanya.

Bagi mengubati kerinduan peminat yang menanti aksi terbarunya, Ning merancang untuk mengadakan siri konsert jelajah di beberapa lokasi termasuk Sabah dan Sarawak selepas album terbarunya dilancarkan nanti.

2200 dibaca
Berita Harian X