;
Rabu, 16 Mei 2018 | 9:33am
Faizal Tahir. - Foto EIzairi Shamsudin

FT ajak Siti beraksi dalam konsert

PETALING JAYA: Selepas beberapa kali ditangguhkan, Faizal Tahir mengesahkan bakal menggegarkan stadium Axiata Arena Bukit Jalil pada konsert solonya, November depan.

Faizal atau dikenali sebagai FT memberitahu, konsert mega yang bakal diadakan pada 3 November itu bertemakan 'moved'.

"Kami sepakat memilih tema 'moved' untuk konsert ini. Harapan saya, konsert ini bukan saja dapat menyentuh emosi penonton, malah fizikal mereka.

"Tarikh dipilih sangat sesuai kerana kami ada masa untuk membuat persiapan selain mengatur publisiti dan promosi," katanya kepada BH Online.

Konsert solo yang dinantikan peminat Faizal itu ditaja Starplanet dengan kerjasama Warner Music Malaysia.

Menambah kehangatan konsert, Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohd Tahir, 39, berkata, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berpadu suara dengannya dalam lagu Dirgahayu, turut diundang menjayakannya.

"Siti adalah antara artis yang ingin saya jemput. Tidaklah ramai sangat hingga 'menenggelamkan' saya sebagai fokus utama konsert itu," katanya yang berharap Siti dapat memenuhi undangannya.

Semalam, Faizal hadir pada majlis pelancaran Kempen Terima Kasih 2018 anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) di sebuah hotel, di sini.

Pada acara itu, Faizal yang juga duta projek itu bersama barisan artis lain, turut menyanyikan lagu tema berjudul Starfeather.

1679 dibaca
Berita Harian X