Selasa, 15 Mei 2018 | 2:30pm

Anak-anak Ziana jalani rawatan psikiatri

SHAH ALAM: Trauma dan tertekan dengan kemelut rumah tangga dihadapi ibu bapa, semua anak penghibur terkenal, Ziana Zain mengikuti rawatan psikiatri.

Mendedahkan perkara itu, Ziana berkata, dia membawa keempat-empat anaknya mendapatkan rawatan psikiatri atas nasihat doktor selepas melihat mereka murung dan tertekan.

"Anak-anak ada yang suka berdiam dan bersendirian... Mereka trauma dengan apa yang dilalui.

"Saya sentiasa bertanya mereka. Syukur apabila anak-anak berkongsi, baru kita tahu mereka pendam perasaan selama ini... Mereka diam kerana takut," katanya di sini, hari ini.

Ziana ditemui selepas sebutan kes perceraiannya dengan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, di Mahkamah Syariah Shah Alam, di sini.

Pada sesi berasingan pada sebelah pagi, Armin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan pindaan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka, Februari lalu.

Armin membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pindaan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan rotan di bahagian tangan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam 24 Februari lalu.

Mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, Armin dan Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik.

Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin mengaku sedih apabila anak-anak meluahkan perasaan termasuk gembira tidak lagi tinggal serumah dengan bapa mereka.

Tambah Ziana, anak-anak menjadi takut sehingga enggan makan sekali selain bimbang dimaki termasuk ketika berada di khalayak ramai.

"Bayangkan anak sulung dan kedua saya enggan diajak makan di luar. Ini kerana tidak sanggup dimarah dan diherdik sesuka hati.

"Malah, mereka mengaku tidak sanggup lihat saya dimarahi tanpa sebab dan punca," katanya.

Bintang filem Sembilu itu mendakwa perbuatan dan kekerasan yang dilakukan suaminya meninggalkan kesan mendalam terhadap anak-anak.

Bercerita lanjut, Ziana berkata, dia nekad berpisah kerana tidak dapat terus mempertahankan tembok kesabaran diri.

"Bayangkan, selama 20 tahun saya pendam rapat dan kemas dalam hati. Saya tidak berkongsi derita yang saya tangguh meskipun melalui pelbagai dugaan sejak fasa awal perkahwinan.

"Saya dididik bapa supaya pertahankan perkahwinan dan menjaga rumah tangga serta jangan bercerita kepada sesiapa," katanya.

Ziana mengaku hidupnya menderita hingga menangis setiap kali tiba di pagar rumah dengan hati meronta ketika melangkah masuk serta berdepan suami.

Tambah Ziana, rasa perit itu 'disimpan' kemas kerana enggan orang luar menghidu apa yang dilaluinya termasuk keluarga.

Ziana berkata, netizen dan masyarakat boleh bercakap apa saja kerana mereka tidak melalui apa yang dihadapinya selama dua dekad.

"Katalah apa saja... Saya doakan anda tidak melalui apa yang saya hadapi kerana ia bukan satu liku hidup yang mudah.

"Bayangkan saya simpan semuanya dalam diri kerana sayangkan keluarga, namun semua itu tidak dihargai. Demi hidup yang lebih tenang untuk saya dan anak-anak, maka saya bertindak (memohon cerai)," katanya.

Pada sebutan kes perceraian pasangan itu, Armin membangkitkan soal penjagaan anak.

Mengulas perkara itu, Ziana berkata, dia tidak membenarkan anak-anak berjumpa Armin kerana mereka adalah saksi kes penderaan suaminya yang sedang dalam prosiding.

Sementara itu, adik Ziana, Anuar yang menemani kakaknya sepanjang berada di mahkamah memberitahu, mereka sekeluarga berharap kemelut rumah tangga dihadapi Ziana diselesaikan demi kebaikan bersama.

Anuar berkata, Ziana tidak pernah bercerita dengan keluarga mengenai masalah rumah tangganya termasuk perbuatan Armin.

"Kami adik beradik tidak pernah mencampuri urusan peribadi Ziana dan sentiasa menghormatinya.

"Apabila mendapat tahu kisah sebenar, pastinya saya sedih dan kesal terhadap perbuatan dilakukan sedangkan kakak saya menerima seadanya selama ini," katanya.

Anuar yang popular dengan lagu Andainya Takdir berharap berharap semua pihak terutama peminat mendoakan yang terbaik buat kakaknya yang dianggap cukup tersiksa selama ini.

"Saya harap jangan ada yang terpedaya termasuk dengan soal agama dan sebagainya atau menuduh bukan-bukan. Ini kerana kita tidak melalui perkara sebenar," katanya.

20619 dibaca
PELAKON dan Penyanyi terkenal, Ziana Zain tidak dapat menahan kesedihan ketika sidang media selepas sebutan kes perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X