Rabu, 14 March 2018 | 9:01pm
PENYANYI dan pelakon, Amira Othman. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Amira gembira bekas kekasih temui pengganti

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amira Othman, mengaku sudah melupakan kisah cintanya yang lalu, malah gembira apabila bekas kekasih menemui pengganti.

Bekas bintang Akademi Fantasia 2013 berusia 24 tahun itu berkata, beliau sendiri tidak terburu-buru dalam soal jodoh.

Sebelum ini, penyanyi lagu Jaga-Jaga itu dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan teman seperjuangan yang juga bekas anggota Azhael, Azhar Othman.

"Saya tumpang gembira apabila mendapat tahu dia sudah menemui kekasih hati. Bagi saya, apa yang terjadi antara kami sudah berlalu. Saya juga sudah melupakan kisah lalu.

"Saya sendiri tidak terburu-buru memikirkan soal cinta atau jodoh kerana tumpuan saya ketika ini diberikan kepada kerjaya seni.

"Ketika ini, contohnya, saya memberikan sepenuh perhatian pada aktiviti promosi single terkini, Mimpi Indah, yang sudah lebih sebulan dikeluarkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk makanan tambahan, di sini hari ini.

Tidak mendapat halangan daripada ibu bapa untuk berkawan dengan sesiapa saja, penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon ini bagaimanapun berharap dapat ditemukan dengan jejaka yang memiliki sifat kekeluargaan dan baik hati, suatu hari nanti.

Andai gagal menemui calon sesuai pula, Amira menyerahkan soal terbabit kepada keluarga, selain tidak menolak jika ditakdirkan mendirikan rumah tangga pada 2019 atau dua tahun lagi.

"Asalkan keluarga suka dan dia lelaki yang baik, saya tak kisah. Begitupun, ketika ini saya mahu fokus pada bidang seni serta mengejar impian dalam kerjaya," katanya.

Menyentuh soal lakonan, katanya, beliau berehat seketika daripada bidang itu bagi mempromosikan lagu terbarunya hasil ciptaan Hael Husaini, yang sehingga kini sudah ditonton hampir 600,000 kali di YouTube.

6305 dibaca
Berita Harian X