Isnin, 12 March 2018 | 9:59pm
PELAKON, Datuk Rosyam Nor, pada majlis tayangan perdana filem KL Special Force di Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto: Zunnur Al Shafiq

'Kejayaan KL Special Force hasil kerja keras produksi'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Rosyam Nor, menganggap pencapaian hebat KL Special Force di pawagam adalah hasil kerja keras seluruh tenaga produksi yang mahu melihat kejayaan filem itu.

Katanya, kejayaan awal menerusi kutipan luar biasa dicatatkan filem terbabit bukanlah semata-mata disebabkan oleh barisan pelakonnya.

Rosyam, 51, yang juga seorang penerbit berkata, dirinya sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai pungutan hampir RM5 juta dilakukan filem berkenaan selepas empat hari tayangannya.

"Saya memang tidak menyangka pungutannya sebegitu tinggi dan saya dimaklumkan oleh penerbit, Datuk Yusof Haslam, inilah kutipan tertinggi sesebuah filem dalam tempoh yang singkat.

"Saya sangat berterima kasih kepada pengarahnya, Syafiq Yusof, kerana mengambil saya berlakon dalam filem ini. Tindakannya itu juga membuktikan, tanggapan kononnya saya tidak boleh lagi berlakon filem aksi pada usia begini adalah tak betul.

"Pencapaian sesebuah filem juga bukan terletak kepada pelakon, tetapi pengarahan dan orang yang bekerja keras di belakang tabir bagi menjayakannya. Pelakon cuma bekerja dan menyampaikan apa yang diarahkan kepada mereka. Pihak yang mencorakkan sesebuah filem itu ialah pasukan produksi," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem baharu lakonannya, Proksi, di sini hari ini.

Rosyam turut berkata, beliau juga ingin mengubah persepsi orang ramai kononnya pada usia separuh abad, pelakon tidak mampu menyumbang untuk menghasilkan filem pecah panggung.

"Selepas ini, saya nak tengok rakan seusia dengan saya diberikan peluang untuk filem besar sebegini," katanya yang kagum dengan kreativiti Syafiq, 25.

Sementara itu, Rosyam turut memuji persembahan Fattah, 27, dalam filem berkenaan dan menyatakan pelakon popular itu memiliki bakat serta boleh berlakon dengan baik.

Beliau sendiri dapat melihat kerja keras aktor terbabit untuk menjayakan wataknya dan berusaha membuktikan keupayaan diri yang sebelum ini sering diperlekeh.

"Dulu, Fattah sering dilabel sebagai pelakon 'kayu', tetapi sekarang dia sudah buktikan dirinya mampu berlakon dengan lebih baik. Sekarang, terpulang pada dirinya bagaimana mahu mengekalkan jenamanya itu. Sebagai pelakon senior, saya turut menumpang populariti mereka (pelakon baharu)," katanya.

4017 dibaca
Berita Harian X