Isnin, 12 March 2018 | 8:38pm

Dayang tetap lawan


PENYANYI, Dayang Nurfaizah, teruja setiap kali memasuki pertandingan yang mencabar kreativiti diri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, akan terus menyertai pertandingan biarpun ada di kalangan teman artis seangkatan dengannya lebih selesa memberikan laluan kepada bintang generasi baharu.

Katanya, bukan soal kemenangan yang menjadi buruan, sebaliknya perasaan sepanjang membuat persediaan selain keterujaan berada di pentas pertandingan sangat berbeza dengan persembahan biasa.

"Kalau diikutkan, pertandingan nyanyian serta lagu di negara ini boleh dikira dengan jari. Andai disenaraikan juga, ketika itulah kita berlumba mencanai kreativiti bersama seluruh pasukan.

"Walau banyak isu memenatkan dan memeningkan kepala sepanjang proses persediaan, namun perasaan teruja menghadapi hari pertandingan sukar diungkapkan.

"Apa pun terpulang kepada rakan seangkatan sama ada mereka mahu sertai (pertandingan) atau sebaliknya. Bagi saya, kalah atau menang, saya tetap teruskan," katanya yang bakal bergandingan dengan penghibur, Datuk Jamal Abdillah, menyerikan Minggu Setiausaha Hotel Tenera, 25 April depan.


DAYANG Nurfaizah dan Datuk Jamal Abdillah akan bergandingan menjayakan acara Luncheon with The Stars pada 25 April depan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mengakui memang ada segelintir netizen yang mempertikaikan penyertaannya, Dayang enggan ambil peduli sebaliknya lebih fokus terhadap kerjaya seni.

"Saya enggan membazirkan waktu membaca komen mereka yang hanya tahu menghentam. Bukannya tidak boleh beri teguran, tetapi biarlah kritikan itu membina, bukannya menjatuhkan.

"Lagi pun, kenapa perlu membazirkan masa dan tenaga untuk menghadap benda negatif? Seramai mana orang suka, perlu diakui seramai itulah juga yang mungkin tidak menyukai kita," katanya lagi yang kini tampil bersama single berjudul Dia.

3242 dibaca
Berita Harian X