Khamis, 22 Februari 2018 | 1:48pm

Mira tak sabar ajar pakai tudung

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Mira Filzah tidak sabar bertemu peminat pada siri ketiga, Festival GegaRia di Kuantan, lusa, bagi berkongsi tip memakai hijab.

Pengacara program majalah wanita terbitan TV3, Nona itu mengaku teruja menyertai festival itu buat pertama kali.

"Orang Kuantan dan mereka yang tinggal berdekatan, jangan lupa datang ke Festival GegaRia yang diadakan di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

"Ada pelbagai aktiviti menarik bersifat kekeluargaan menanti semua. Selain saya, anda boleh bertemu artis kesayangan dan menonton konsert yang dianjurkan dari petang hingga malam," katanya kepada BH Online.

Mira berkata, pada acara itu, dia bakal mengisi segmen Gaya Hidup dengan melakukan demonstrasi memakai tudung.

"Saya akan kendalikan tutorial menggayakan tudung mengikut pelbagai acara. Jadi, sesiapa yang hendak belajar cara memakai tudung, bolehlah datang berjumpa saya pada jam 2 petang," katanya yang turut mengusahakan rangkaian tudung jenama MF.Shawls.

Sementara itu, Mira yang pernah memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 bersyukur amanah dipikul sebagai pengacara Nona yang sudah lebih 30 tahun disiarkan, diterima baik peminat.

"Alhamdulillah, pembabitan Mira sebagai hos Nona diterima baik. Memang tujuan dan misi utama Mira adalah untuk menaik lebih ramai penonton terus setia 'melekat' di hadapan kaca televisyen (TV).

"Mira tak mahu penonton masih tetap dengan pemikiran Nona adalah untuk wanita berusia semata-mata. Sebaliknya. ia boleh ditonton wanita muda dan remaja kerana kandungannya meluas.

"Baik mereka yang berpangkat adik, kakak, makcik dan nenek boleh menonton Nona. Malah, kaum lelaki juga boleh menyaksikan program ini," katanya.

Selain Mira, pelakon Elfira Loy juga akan menjayakan segmen bicara mengenai tanggungjawab media sosial pada jam 5 petang pada siri ketiga GegaRia di Kuantan. Pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya pula akan beramah mesra dengan pengunjung pada jam 4 petang.

Mengisi segmen konsert, barisan artis terhangat iaitu Noh Salleh, Kugiran Masdo, Akim & The Majistret, De Fam dan Bunkface akan 'menggegarkan' pentas utama pada sebelah malam.

Pada sebelah petang, Wany Hasrita dan sensasi YouTube, Priscilla Abby akan menghiburkan pengunjung.

Festival dimulakan dengan tarian kecergasan Zumba terbesar membabitkan kira-kira 700 peserta pada sebelah pagi diikuti acara lain termasuk demonstrasi masakan bersama Cef Fikree Aznan, GegaRia E-Games dan permainan tradisional.

Selain itu, kendera saji atau food truck menawarkan pelbagai jenis juadah untuk pengunjung. Orang ramai juga boleh berurusan di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka sepanjang hari.

Maklumat lanjut mengenai GegaRia boleh didapati dengan melayari laman rasmi Facebook dan Instagram, GOGEGARIA.

1820 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »