;
Rabu, 14 Februari 2018 | 5:13pm
FAUZIAH Ahmad Daud (Ogy) dan Azmil Mustapha dalam filem Suara Kekasih (1986). -Foto fail
FAUZIAH Ahmad Daud.- Foto NSTP

Azmil insan pertama bimbing saya selepas berhijrah - Ogy

KUALA LUMPUR: "Saya hilang abang dan sahabat yang sangat baik. Pemergiannya meninggalkan kesan dalam diri saya."

Begitu luahan pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud mengulas mengulas pemergian pelakon gandingannya dalam filem box office era 1980-an, Ali Setan dan Suara Kekasih, Allahyarham Azmil Mustapha, 65.

Fauziah atau lebih mesra disapa Kak Ogy, 55, memberitahu, kali terakhir beliau menghubungi Allahyarham adalah apabila mengundang aktor itu menjadi tetamu rancangan bual bicara kendaliannya, Huru Hara, bulan lalu.

"Entah mengapa, hati ini terdetik untuk mengundang arwah sebagai tetamu selepas melihat kelibatnya muncul dalam satu sesi temubual.

"Selepas dihubungi, arwah memohon diberi tempoh dua hari untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

"Selepas dua hari, saya hubungi arwah kembali dan beliau menolak tawaran itu dengan baik. Beliau beritahu dia tidak bersedia untuk ditemuramah.

"Hari ini, saya dimaklumkan seorang teman media, arwah sudah tiada. Berita itu benar-benar mengejutkan saya," katanya kepada BH Online.

Mengimbau pengalamannya bersama Azmil, bekas pengacara program Melodi terbitan TV3 itu menyifatkan Azmil seorang teman dan rakan seperjuangan yang berhati mulia.

Bagi Ogy, kehilangannya amat sukar untuk diganti.

"Ketika saya mula-mula berhijrah, beliaulah orang pertama yang datang menghulur bantuan untuk membimbing.

"Apabila saya mengambil keputusan untuk kembali berlakon, dia tidak pernah menghakimi saya. Sepanjang berlakon dengannya, arwah sangat profesional dan sentiasa bersedia di set penggambaran.

"Arwah juga lucu dan saya akan merindui gelak ketawanya yang saya pernah dengar dulu," katanya.

12790 dibaca
Berita Harian X