Ahad, 11 Februari 2018 | 11:36pm
ALTIMET menyanyikan lagu Amboi pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 di Axiata Arena. - Foto Asyraf Hamzah
SYAMEL dan Ernie Zakri menyanyikan lagu Aku Cinta pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 di Axiata Arena. - Foto Asyraf Hamzah

Altimet 'gegar' pentas AJL 32

KUALA LUMPUR: Umpama mencipta rekod baharu, aksi Altimet yang mendendangkan lagu berjudul Amboi 'menggegarkan' Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, pada malam penentuan, Anugerah Juara Lagu Ke-32, malam ini.

Seperti beraksi dalam konsert sendiri, Altimet pantas menarik perhatian peminat sebaik muncul di pentas melontarkan bait lirik lagu popular itu.

Kemunculan aktres Nabila Huda melakonkan watak 'makcik' dan beraksi bersama Altimet tambah menghangatkan pentas dengan penonton berdiri mengikut rentak lagu.

Kemunculan Syamel dengan lagu Lebih Sempurna turut menghangatkan pentas 'pertarungan' apabila tampil bersama dua pemuzik dengan pentas hidrolik.

Susunan muzik dan kekuatan vokal Syamel mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tampil ringkas dengan busana berwarna putih bersesuaian dengan lagu Sejati yang disampaikan, persembahan Azmi Caliph Buskers juga tidak mengecewakan penonton.


DAYANG Nurfaizah menyanyikan lagu Separuh Mati Ku Bercinta pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 di Axiata Arena. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Keunikan Hazama & The Penglipurlara tampil dengan solekan diwajah mempersembahkan lagu Aku Yang Sebenar ciptaan Datuk M Nasir cukup bertenaga dan menggamatkan suasana.

Tidak kurang juga aksi Hael Husaini dengan pentas berputar yang diiringi koir serta pemain piano dan gitar mendapat sorakan gemuruh penonton dengan lagu Jampi.

Walaupun bergelar penyanyi 'otai' dalam kalangan penyanyi yang bertanding, namun aura Dayang Nurfaizah tidak dapat dinafikan lagi.

Setiap kali melangkahkan kaki ke pentas AJL, tumpuan penonton pasti terarah kepada persembahannya dengan kekuatan dan kelunakan vokalnya.

Mempertaruhkan lagu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai, Dayang cukup memukau tanpa perlu disokong oleh prop yang sarat memenuhi pentas. Sekadar lontaran suara sudah cukup membuatkan penonton tergamam dengan gaya persembahannya.

Terdahulu, pembukaan AJL 32 meledak dengan persembahan hebat dan penuh bertenaga daripada Stacy dengan lagu medley Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang yang turut menampilkan artis rap, Waris.

Seperti dijangka, aksi lincah isteri kepada Akim Ahmad itu mendapat sorakan penonton yang memenuhi segenap ruang arena.

AJL 32 digamatkan lagi dengan gandingan serasi pengacaranya, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad yang memecah hilai tawa penonton dengan aksi bersahaja mereka.


PENGACARA, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 di Axiata Arena. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sebelum acara berprestij itu bermula, artis dan selebriti 'melaram' pada segmen karpet merah bertepatan dengan tema penganjur.

Kemunculan mereka mencuri perhatian lensa kamera jurugambar dan juruvideo ketika menuju ke pentas khas untuk merakamkan busana digayakan.

Rona hitam dan biru gelap menjadi pilihan ramai selebriti yang tidak mahu dilihat keterlaluan serta dianggap 'selamat' digayakan sesuai dengan acara malam.

Antara selebriti dan artis yang hadir memeriahkan segmen karpet merah adalah Noraniza Idris, Indah Ruhaila, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Shiha, Amira Othman, Nadia Brian, Floor 88, Ifa Raziah, Siti Sarah Rausuddin dan suaminya, Shuib, Sufie Rashid serta Ezlyn.

Juara AJL 32 membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000; Tempat Kedua RM35,000; Tempat Ketiga RM20,000; Vokal Terbaik RM12,000 dan Persembahan Terbaik RM12,000.

18454 dibaca
Berita Harian X