Sabtu, 27 Januari 2018 | 3:21pm
PELAKON, Ashraf Sinclair, bakal muncul dengan drama Do[s]a tidak lama lagi. - Foto: Nurul Shafina Jemenon

Yuna pasti dapat bahagiakan Adam - Ashraf Sinclair

SERI KEMBANGAN: Pelakon, Ashraf Sinclair, menyifatkan Yuna sebagai wanita yang baik dan mengalu-alukan kehadiran penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu, menjadi sebahagian ahli keluarga mereka.

Suami kepada penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) itu berkata, sebagai abang, dia menerima pilihan adiknya, Adam Yousof Sinclair, dengan hati terbuka.

"Perjalanan cinta mereka cukup indah. Yuna seorang yang penyayang. Membuatkan saya yakin dia mampu membahagiakan Adam dan anak mereka kelak.

"Sudah tentu saya gembira apabila Yuna kini menjadi sebahagian daripada ahli keluarga. Majlis pernikahan mereka mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga," katanya.

Ditanya mengenai nasihat terhadap adiknya yang turut memilih selebriti sebagai pasangan hidup, Ashraf, 38, percaya Adam tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan isteri.

"Adam dan Yuna lebih arif apa yang terbaik untuk mereka memulakan langkah baharu mereka. Saya dan keluarga akan sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka," katanya yang sudah 10 tahun berhijrah ke Jakarta, Indonesia, untuk menimba pengalaman sebagai pelakon.

Selain meraikan majlis pernikahan dan persandingan adiknya, Ashraf turut berada di ibu kota untuk mempromosikan drama lapan episod, Do[s]a, yang dibintanginya bersama Datuk M Nasir, Remy Ishak, Hisyam Hamid serta Shenty Feliziana.

Semalam, Yuna sah menjadi isteri kepada Adam pada majlis pernikahan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Majlis itu dihadiri 300 tetamu termasuk keluarga dan rakan terdekat dari Malaysia dan Amerika Syarikat.


YUNA sah menjadi isteri kepada Adam pada majlis pernikahan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang, semalam.

Petang ini, pasangan pengantin baru dijadualkan bertemu dengan wakil media di Putrajaya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Crush itu berkenalan dengan suaminya ketika menjayakan sebuah iklan pada awal 2013. Hubungan mereka mulai rapat pada 2015 seterusnya bertunang 5 Ogos lalu.

6809 dibaca
Berita Harian X