Khamis, 25 Januari 2018 | 10:45am
Pelakon, Shenty Feliziana dan Reuben Elishama. - Foto Instagram Shenty Feliziana

Shenty, Reuben bersatu 13 April

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shenty Feliziana, 28, berkongsi berita gembira bakal mendirikan rumah tangga pada 13 April depan dengan pelakon Indonesia, Reuben Elishama, 39.

Shenty atau nama sebenarnya Shenthy Feliziana Sudirman mengaku tidak menyangka dirinya akan bertukar status menjadi isteri tidak lama lagi memandangkan sebelum ini beliau pernah meluahkan perasaan serik untuk bercinta.

Shenty berkata, beliau mengenali Reuben ketika sama-sama terbabit dalam drama Dosa, Jun tahun lalu, dan mulai lebih akrab selepas penggambaran naskhah itu.

"Jujurnya, saya tak terfikir nak mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat kerana sudah 'kahwin' dengan kerjaya. Ketika penggambaran Dosa pula, kami profesional dalam kerja.

"Cuma selepas penggambaran itu, kami jadi akrab. Alhamdulillah, selepas dia melamar, saya membuat solat istikharah bagi memastikan keputusan saya adalah tepat.

"Dia juga tanpa membuang masa terus membawa keluarganya berjumpa keluarga saya di Singapura. Dengan persiapan sederhana, saya tak sangka dia membawa cincin sekali.

"Ini kerana jika mengikut perancangan awal, dia mahu berkenalan dengan keluarga saya terlebih dulu. Jadi, kami bertunang pada 25 November tahun lalu dan menetapkan 13 April depan sebagai tarikh pernikahan," katanya kepada BH Online.

Kata bekas pengacara program H! Live itu, majlis pernikahan mereka akan berkonsepkan tradisional dan dilangsungkan di kediaman keluarganya di Singapura, diikuti majlis resepsi keesokan hari.

Majlis pihak lelaki pula akan berlangsung di Bali, Indonesia, berkemungkinan besar pada penghujung April depan.

Reuben atau Reuben Elishama Hadju Soerjosoemarno ialah anak pelakon veteran Indonesia, Marini, dan mula berlakon filem Arisan! pada 2003 serta Berbagi Suami (2006).

"Dia tahu hati saya pernah tertutup untuk bercinta, begitu juga dengan dirinya sejak berpisah dengan bekas isteri 17 tahun lalu.

"Selain itu, saya dan Reuben tahu sisi paling baik dan buruk masing-masing ketika penggambaran Dosa. Saya rasa, dialah lelaki yang tepat untuk dijadikan suami," katanya.

Selain mereka, antara pelakon lain yang turut membintangi Dosa ialah Remy Ishak, Hisyam Hamid, Datuk M Nasir, Daniella Sya, Ashraf Sinclair dan Roy Marten.

Drama itu yang dieja dengan Do(s)a diarahkan oleh pemenang Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Citra Indonesia, Ifa Isfansyah, dan bakal bersiaran mulai 14 Februari depan di sebuah saluran berbayar.

4672 dibaca
Berita Harian X