Ahad, 21 Januari 2018 | 5:16pm
PELAKON dan pengacara, Raja Farah, bersama anaknya, Imran Iskandar, pada September 2016. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Dua kali gugur, Raja Farah sanggup cuti berniaga

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Raja Farah, mengakui sedia mengambil 'cuti' berniaga jika dikurniakan rezeki untuk hamil lagi selepas dua kali keguguran.

Katanya, selepas keguguran beberapa hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun lalu, dia mengandung semula, tetapi reda apabila disahkan keguguran, dua bulan lalu.

"Memang sedih sebab saya dan suami sudah bersedia untuk menambah ahli keluarga, namun nampaknya belum ada rezeki kami kerana hingga kini saya sudah dua kali keguguran.

"Doktor maklumkan, rahim saya agak lemah, sekali gus menjadi punca keguguran berkenaan. Apatah lagi sepanjang tempoh awal kehamilan, saya sangat aktif mengusahakan perniagaan kek kami," katanya kepada BH Online.

Pengacara CJ Wow Shop ini berkata, dia sendiri tidak tahu dirinya berbadan dua ketika mengalami keguguran kali kedua.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak tahu sudah 'berisi' kerana tiada tanda-tanda mengandung. Jadi, saya aktif macam biasa, termasuk ke sana-sini menghantar tempahan.

"Andai ditakdirkan selepas ini saya dikurniakan lagi rezeki (hamil), saya akan ikut nasihat doktor untuk berehat seketika. Paling tidak, untuk trimester pertama," kata ibu kepada Imran Iskandar, 17 bulan.

Pemilik nama sebenar Raja Farah Raja Aziz, 30, ini mendirikan mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Iskandar Ismail, pada 6 September 2015.

Pada masa sama, bintang filem Haq itu memaklumkan turut merindui untuk kembali berlakon tetapi rela berkorban demi menjaga keluarga, terutama suami dan permata hatinya.

6338 dibaca
Berita Harian X