Ahad, 14 Januari 2018 | 7:51pm
PELAKON, Farah Nabilah, mula dikenali ramai selepas membintangi drama Titian Cinta, tahun lalu. - Foto: Nur Adibah Ahmad Izam

Enggan terikat dengan Zul Ariffin saja

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperbaiki mutu lakonan, bintang baharu, Farah Nabilah, enggan menyaksikan dirinya terikat dengan watak Aisy dalam Titian Cinta mahupun bersama aktor, Zul Ariffin, semata-mata.

Sebaliknya, pelakon berusia 25 tahun ini berazam untuk mempelbagaikan lagi karakter yang dibawa, selain mengelakkan dirinya terus dibayangi gandingan bersama aktor terkenal itu.

Mengakui Titian Cinta memberikan sumbangan besar dalam kerjaya lakonannya, namun beliau juga mahu mencipta persembahan lebih baik di arena seni.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam menghidupkan sesebuah watak dan lakonan pada masa akan datang, sekali gus mengekalkan momentum dalam kerjaya seni.

"Saya akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada, selain mempertingkatkan lagi mutu lakonan, agar ia lebih baik daripada drama Titian Cinta. Memang saya tak mahu peminat terikat dengan lakonan bersama Zul saja. Malah, saya akan cuba membawakan banyak lagi watak lebih menarik andai berpeluang nanti," katanya.

Ditanya mengenai gandingan idamannya, Farah mengaku tidak mempunyai pilihan tertentu.

"Berlakon dengan sesiapa pun saya tak kisah. Apa yang lebih utama, saya boleh merealisasikan watak yang diberi dan insya-Allah, cuba mencipta keserasian dengan rakan gandingan terbabit.

"Pada usia lakonan saya yang masih hijau, banyak lagi pengalaman perlu dicari. Jadi, setiap hari menjadi ruang terbaik untuk terus belajar," katanya.

Farah baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Adakah Aku Bersalah, bersempena Drama Festival Kuala Lumpur 2018, di samping Hasnul Rahmat, Wilma, Shah Jaszle dan Oktovia Manrose.

"Bulan depan, saya akan berlakon pula dengan Aliff Aziz untuk drama siaran slot Akasia, Halalkan Hati Yang Kucuri.

"Selain itu, saya turut diundang menjadi artis jemputan dalam program masakan seperti Cerita Rasa Anis Nabilah dan 5 Rencah 5 Rasa. Malah, saya juga ada terbabit sebagai hos travelog program Jauhar Johor," katanya.

6755 dibaca
Berita Harian X