Ahad, 14 Januari 2018 | 10:51am
TAHAP kesihatan Datuk Ooi Eow Jin semakin merosot sejak tahun lalu dan hanya terbaring di katil. - Foto Amirudin Sahib

Isteri terkejut Eow Jin disangka meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Isteri Datuk Ooi Eow Jin, Datin Khaw Lean Kee terkejut apabila ada pihak menyangka suaminya sudah meninggal dunia selepas kisah beliau menjual kuih kapit tular, baru-baru ini.

Katanya, walaupun tahap kesihatan pengarah muzik itu semakin merosot sejak tahun lalu dan hanya terbaring di katil, keadaannya tidak membimbangkan.

"Saya menerima banyak panggilan yang bertanya mengenai keadaan suami. Ada juga pertanyaan yang mahukan kepastian apabila terdengar khabar suami saya sudah meninggal dunia.

"Ingin saya jelaskan, beliau hanya kurang sihat dan masih bernafas. Keadaan kesihatannya sentiasa dipantau dan masih menjalani pemeriksaan susulan di hospital secara berkala.

"Kali terakhir suami dimasukkan ke hospital pada Jun tahun lalu. Ketika itu, sudah tersebar berita beliau sudah tiada. Ini kali kedua orang bertanyakan perkara yang sama," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, sejak Khamis lalu, kisah Lean Kee menjual kuih kapit bagi menampung kos perubatan Eow Jin yang menghidap Alzheimer dan anak mereka, Raymond yang menghidap tumor otak, menjadi tular di media sosial.

Menerusi paparan yang dikongsi seorang rakannya, setiap tin kuih dijual pada harga RM20 dan Lean Kee menerima RM2 sebagai komisyen jualan.

Sejak perkongsian itu tular, kediaman yang disewa keluarga Eow Jin di Petaling Jaya, Selangor tidak putus-putus dikunjungi tetamu dan dermawan yang mahu meninjau sendiri keadaan tiga beranak terbabit.

Lean Kee yang kini mencecah usia 78 tahun turut disahkan doktor mengalami masalah tekanan perasaan hingga memerlukannya mengambil ubat dan menemui pakar secara berkala.

Dalam keadaan kesihatan tidak menentu, wanita yang menjaga anak dan suaminya sendiri terpaksa menggunakan khidmat pembantu sambilan untuk menolongnya menguruskan mereka.

4686 dibaca
Berita Harian X