Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:42pm
NABILA (kiri) menemui peminat sempena Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Nabila bangga Pematah Hati tawan Singapura

SHAH ALAM: Di sebalik kontroversi lagu Pematah Hati, penyanyi Nabila Razali bersyukur single ketiganya itu kekal mendominasi carta radio tempatan, selain turut menjadi pilihan peminat di Singapura.

Diperkenalkan pada Julai lalu, Nabila, 26, tidak menyangka gimik putus cinta dengan pelakon Aedy Ashraf ketika menjayakan muzik video lagu itu membuahkan kejayaan apabila ia mencatat lebih 13 juta tontonan di YouTube.

"Alhamdulillah, sambutan yang diberikan terhadap Pematah Hati begitu memberangsangkan. Lebih manis, single ketiga selepas lagu Cemburu dan Katakan Saja ini turut menembusi carta radio Singapura dan menjadi juara selama dua minggu," katanya.

Ditemui di Fiesta GegaRia yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City Shah Alam, di sini, penyanyi yang semakin dikenali menerusi tagline Cumi Cumi itu meluahkan hasrat untuk tampil dengan lagu duet dalam tempoh terdekat.

Selain itu, Nabila turut menerima tawaran membintangi drama bersiri, Cintaku Di Bumi Izmir terbitan Creative Skills Solution yang akan memulakan penggambaran di Turki pada Mac depan.

"Untuk drama itu, saya akan bergandingan dengan Ungku Ismail sebagai hero. Walaupun masih baharu, saya bersyukur bakat lakonan saya terus mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit. Saya anggap tawaran itu sebagai peluang untuk mencabar diri.

"Tidak dinafikan, saya gementar apabila digandingkan dengan pelakon yang hebat dan berpengalaman. Namun, saya ambil peluang itu sebagai ruang untuk belajar dan memperbaiki kelemahan diri," katanya.

735 dibaca
Berita Harian X