Khamis, 7 Disember 2017 | 6:32pm
NADZMI Adhwa pada sidang akhbar berhubung penahanannya berkaitan kes dadah di Damansara Perdana, hari ini. - Foto: Supian Ahmad

Takkan keluar lewat malam lagi

PETALING JAYA: Pelakon Nadzmi Adhwa mendakwa sepanjang 25 tahun hidupnya, dia tidak pernah mengambil bahan terlarang.

Lantaran itu, Nadzmi menafikan dirinya positif dadah seperti yang tersebar selepas penahanannya di ibu kota bersama seorang rakan dan adiknya, awal bulan lalu.

"Saya tidak pernah ambil barang terlarang sepanjang hidup dan apa yang berlaku adalah kesilapan saya apabila keluar dengan orang yang salah, pada waktu yang salah.

"Syukur saya dibebaskan dengan jaminan polis dan dimaklumkan, tiada pertuduhan ke atas saya dan saya hanya membantu siasatan," katanya kepada BH Online dalam sidang media di syarikat pengurusannya, Mindorder Management, di sini hari ini.

Nadzmi yang juga seorang pengacara berkata, dia turut memohon diberikan peluang kedua untuk kembali aktif dalam industri hiburan, selepas sebulan menyepikan diri.

Pelakon drama Hati Perempuan ini berkata, dia dan syarikat pengurusannya menanggung kerugian kira-kira RM80,000 ekoran kontroversi itu.

"Saya akui perkara ini memberikan kesan mendalam terhadap kerjaya dan keluarga termasuk pandangan masyarakat.

"Saya bersyukur diri ini tidak bersalah dan keluarga, terutamanya ibu bapa saya, paling kuat memberikan sokongan dalam tempoh sukar ini," katanya.

Nadzmi berkata, dia juga kini memilih untuk meluangkan masa di rumah bersama keluarga dan mahu lebih bijak memilih kawan. Selain itu, dirinya juga takkan keluar lewat malam bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang lagi.

"Ibu selalu berpesan dan menegah saya daripada keluar lepas jam 12 tengah malam kerana banyak perkara tidak elok boleh berlaku, tetapi saya degil.

"Saya akan ikut nasihat ibu dan saya menyesal dengan apa yang berlaku, serta memalukan orang tua," katanya dalam nada sebak.

6223 dibaca
Berita Harian X