Khamis, 7 Disember 2017 | 3:18pm
PELAWAK, Abam Bocey.
TAUKE Jambu.

Abam, Tauke kahwin selang sehari

KUALA LUMPUR: Dua pelawak terkenal, Abam (Bocey) dan Tauke (Jambu), bakal menamatkan zaman solo bersama pilihan hati mereka, masing-masing pada 8 serta 9 Disember ini.

Menerusi undangan yang dikirimkan kepada BH Online, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 29, akan dinikahkan dengan Siti Norhidayah Mohd Ali, 26, esok, di Sabak Bernam, Selangor, kira-kira selepas solat Asar.

Majlis bersanding di sebelah keluarga pengantin perempuan pula akan diadakan pada 9 Disember, juga di Sabak Bernam.

Di pihak lelaki, majlis menyambut menantu akan diadakan pada 20 Januari depan di Gombak.

Pasangan berkenaan dikatakan berkenalan sejak 2009, namun hubungan mereka pernah putus seketika. Majlis pertunangan juga difahamkan akan berlangsung pada hari pernikahan mereka.

Tauke atau nama penuhnya Zamatul Amri Zakaria, 41, pula akan disatukan dengan Nadia Mohd Affandi di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada 10 pagi. Majlis resepsi pasangan ini dilangsungkan di tempat sama pada sebelah malam.

Artis serba boleh yang dicungkil bakatnya menerusi program Raja Lawak itu bertunang dengan Nadia, 28, pada Disember 2015.

Tauke pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali sebelum ini dan dikurniakan enam cahaya mata hasil daripada dua perkahwinan pertamanya.

9786 dibaca
Berita Harian X