Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:53pm
ELLA pada pelancaran album terbarunya Peace Love Rindu di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. - Foto Rohanis Shukri

Peminat pilih lokasi siri jelajah Ella

KUALA LUMPUR: Ratu rock, Ella meletakkan kuasa di tangan peminat untuk menentukan lokasi siri jelajah di seluruh negara melalui undian atas talian sempena promosi album terbaharu, Peace.Love.Rindu.

Hasilnya, seramai 30 peminat bertuah berpeluang menghadiri sesi ramah mesra bersama Ella di lokasi siri jelajah. Destinasi dituju adalah Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Kedah, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Siri jelajah Ella akan bermula 24 Oktober ini di Teluk Cempedak, Kuantan.

Lebih sedekad tidak merakamkan album, peminat ternanti-nanti buah tangan terbaharu Ella atau nama penuhnya, Norzila Aminuddin yang masih mengekalkan momentum pada usia 51 tahun.

Dalam siri jelajah itu, Ella yang bakal diiringi 'live band', akan membuat persembahan di atas trak mendendangkan rangkaian lagu lama dan baru.

Album terbaharu penyanyi Standing In The Eyes Of The World itu memuatkan lapan lagu. Semua karya itu mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik handalan seperti Datuk M Nasir, Edrie Hashim, Omar K, Ezra Kong, AG Coco, Sam Bunkface, Keon, Buddhi Hikayat dan Ad Samad.

Album Peace.Love.Rindu dipasarkan sejak 25 September lalu. Peminat boleh mendapatkannya melalui Lazada dan XOX.

424 dibaca
Berita Harian X