Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:15pm
HAFIDZ Roshdi bersama isteri Nurul Suhada Mat Shukri. - Foto Saifullizan Tamadi

Laman sosial rakam anak membesar

KUALA LUMPUR: Seperti dilakukan selebriti lain yang memiliki cahaya mata, pelakon Hafidz Roshdi turut membuka akaun Instagram (IG) untuk anak perempuannya yang diberi nama Humairah.

Menggunakan nama @humairah.hafidz, pelakon drama Kelip Kelip Kota London yang akan menemui penonton tidak lama lagi itu, mahu menggunakan akaun terbabit untuk mempromosikan produk.

"Akaun itu saya gunakan untuk mempromosi atau memberi ulasan terhadap produk yang menaja Humairah.

"Alhamdulillah, setakat ini, ada pihak yang bermurah hati menaja barangan kepada anak saya," kata Hafidz kepada BH Online.

Tambahnya, akaun IG itu juga digunakan bagi merakam perjalanan anaknya membesar.

Mengenai pemilihan nama Humairah, Hafidz dan isteri sukakan nama itu yang juga gelaran isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah.

"Humairah juga membawa maksud putih kemerah-merahan.

"Saya pilih nama itu selepas berbincang dengan isteri. Kami juga bertanya pendapat ustaz dan keluarga, ramai bersetuju," katanya.

Hafidz berkahwin dengan Nurul Shuhada Mat Shukri pada 30 April lalu.

1190 dibaca
Berita Harian X