Khamis, 12 Oktober 2017 | 9:38pm
BEN Nathan. - Foto ZUnnur Al Shafiq

Single baharu Ben Nathan hujung tahun

KUALA LUMPUR: Single baharu penyanyi era 1980-an, Ben Nathan, dijangka menemui peminat pada November atau Disember depan.

Mengesahkan perkara itu, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, berkata sebanyak tiga lagu akan diberikan kepada penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati berusia 54 tahun itu sebagai pilihan.

"Ada tiga fasa kita lakukan untuknya. Pertama, kita buat lawatan, kedua penganjuran konsert amal dan ketiga merakamkan single. Kita juga sudah berbincang dengan Tan Sri Jojo (Syed Mohd Yusof Syed Nasir) mengenai single ini.

"Hasilnya, tiga lagu daripada komposer Indonesia akan diserahkan kepadanya sebagai pilihan. Bagaimanapun hanya sebuah single akan dihasilkan, insya-Allah pada November atau Disember depan," katanya sambil memberitahu, projek terbabit dapat dilaksanakan hasil kutipan konsert amal pada Mei lalu.


PENGERUSI Yayasan Artis 1 Malaysia Datuk DJ Dave (tengah) bergambar bersama artis dan penerima sumbangan, pada majlis sumbangan anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia sempena menyambut Deepavali 2017 di Kelab Di Raja Selangor. - Foto Mahzir Mat Isa

Ben menjadi perhatian ramai awal tahun ini apabila kisahnya yang hidup sebagai gelandangan di sekitar ibu kota menjadi viral. Rentetan kes itu, beliau pernah diberikan rawatan di Wad Psikiatrik Hospital Kuala Lumpur untuk pemantauan, sekitar Februari lalu.

Beliau kini ditempatkan di sebuah pusat jagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya sendiri yang menguruskan penempatannya di situ. Minggu lalu, saya ada mengunjunginya di sana dan dia meminta untuk keluar kerana mahu tinggal dengan adiknya.

"Buat masa sekarang, kita akan memantau dulu keadaannya. Kita tidak menghalang dia untuk tinggal dengan ahli keluarga, cuma kita perlukan sedikit masa supaya dirinya betul-betul bersedia untuk berbuat begitu," katanya.


Datuk DJ Dave pada majlis sumbangan anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia sempena menyambut Deepavali 2017 di Kelab Di Raja Selangor. - Foto Mahzir Mat Isa

Dave yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan sempena Deepavali kepada 21 artis berusia 60 tahun di sini hari ini berkata, pihaknya akan memantau keadaan penyanyi itu dari masa ke semasa, selain memberikan peluang untuknya aktif semula di arena seni suara dengan tawaran persembahan.

"Bukan saja dirinya, sebaliknya mana-mana artis yang ingin aktif kembali namun tidak tahu caranya, kita akan cuba membantu. Sudah ada beberapa artis yang kita tolong, bukan saja dari segi kewangan, tetapi turut menawarkan mereka peluang membuat persembahan," katanya.

823 dibaca
Berita Harian X