Khamis, 12 Oktober 2017 | 7:38pm
ROZITA Che Wan, mengaku beliau turut menjadi mangsa penipuan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan produk minyak wangi keluaran syarikatnya. - Foto Aswadi Alias.

Che Ta rugi RM50,000 jadi mangsa tipu Datuk

KUALA LUMPUR: Rozita Che Wan, mengaku beliau turut menjadi mangsa penipuan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan produk minyak wangi keluaran syarikatnya, sejak tahun lalu

Sebelum ini, Datuk sama dikatakan turut menipu pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, juga membabitkan penghasilan minyak wangi.

"Saya ingat, saya boleh mempercayai dirinya. Tetapi rupa-rupanya dia berniat jahat apabila menipu saya hingga mengalami kerugian sebanyak RM50,000.

"Bayangkan, banyak duit yang diperolehnya dengan hasil penipuan. Malah, dia boleh tukar kereta mewah, tambah isteri dan macam-macam lagi dengan hidup menipu orang.

"Saya akhirnya memutuskan untuk menghalalkan saja. Insya-Allah, saya reda. Biarlah hidupnya tidak senang kerana menyusahkan orang dan semoga dia juga akan berubah," kata Rozita yang ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta umrah Imtiyaz Travel & Tours, di sini hari ini.

Pelakon yang mesra disapa dengan panggilan Che Ta juga memberitahu, beliau enggan membesarkan perkara berkenaan sebelum ini kerana tiada hitam putih dalam kerjasama yang dijalinkan.

"Begitupun, walaupun tiada kontrak mahupun perjanjian secara hitam putih, bukti pembayaran tetap ada.

"Saya malas hendak menghebahkan perkara ini, apatah lagi membuat laporan polis kerana silap saya juga apabila tidak mempunyai dokumen yang sepatutnya.

"Merayu dan meminta pun tak diendahkannya. Tak apalah, doa orang yang teraniaya selalunya dimakbulkan," katanya.

Dalam pada itu, Rozita bersama suami, Zain Saidin, dan anak, Aaisyah Dhia Rana, merancang untuk membawa 20 anggota keluarga serta sanak saudara ke Makkah pada Januari depan bersama agensi kembara berkenaan.

Program umrah bersamanya itu turut membuka penyertaan kepada peminat dan orang awam.

5547 dibaca
Berita Harian X