Khamis, 12 Oktober 2017 | 1:16pm
PERSEMBAHAN One Thousand Million Smiles ketika dipentaskan di KLPAC pada November tahun lalu.

Pementasan kenang Sudirman di KLPAC

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan pementasan One Thousand Million Smiles pada tahun lalu, The Actors Studio Seni Teater Rakyat sekali lagi bakal menganjurkan persembahan serupa sebagai penghormatan genap 25 tahun pemergian Datuk Sudirman Arshad.

Pementasan muzik terbabit akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober depan di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, kejayaan pementasan lalu menjadi bukti bakat Sudirman dan warisannya menambat hati warga Malaysia dan sehingga kini beliau tetap disanjungi sebagai Seniman Rakyat.

Seperti tahun lalu, pementasan kali ini akan menampilkan finalis Malaysian Idol, Nikki Palikat, dan pemenang rancangan realiti NTV7, Audition, Tria Aziz.

Penyanyi lain yang turut menjayakan persembahan termasuk Amir Hazril Harith, Ian Chow, Ryonn Leong dan Joel Wong.

Menurut pengarah pementasan berkenaan, Datuk Faridah Merican, penghormatan itu diadakan sebagai usaha mereka bagi mengembalikan muzik Penghibur Nombor 1 Asia itu.

"Pencinta muzik akan disajikan dengan rangkaian lagu terbaik beliau seperti Balik Kampung, Salam Terakhir, Hujan dan sudah tentunya One Thousand Million Smiles.

"Konsep persembahan yang menyamai persembahan muzikal zaman 80-an ini bakal diiringi oleh Orkestra KLPAC di bawah pimpinan Lee Kok Leong dan kumpulan pemuzik yang diketuai oleh Loh Ui Li.

"Seperti seniman itu sendiri, One Thousand Million Smiles bakal menyajikan persembahan mengasyikkan dari awal hingga akhir," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan pementasan terbabit, maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.klpac.org atau menghubungi talian 03-40479000.

263 dibaca
Berita Harian X