Selasa, 12 September 2017 | 1:38pm
Erra Fazira. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Aleesya selesa dengan Bella.

Aleesya selesa dengan Bella

KUALA LUMPUR: Bersyukur bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin bertemu jodoh, aktres jelita, Erra Fazira meletakkan soal perasaan anak mereka, Engku Aleesya sebagai perkara utama.

Akui Erra, dia dan bekas suami mengutamakan kebahagiaan Aleesya melebihi segala-galanya.

"Benar, fokus utama dalam soal hati saya dan bekas suami ialah mengenai perasaan anak kami. Itu yang paling utama. Kebahagiaan anak kami perlu didahulukan.

"Selama ini, saya mendoakan Emran akan mendapat calon isteri yang baik. Alhamdulillah, semua itu bagaikan dipermudahkan dengan kehadiran Bella (Laudya Cynthia Bella).

"Insya-Allah, Aleesya juga menyenangi Bella. Malah, setiap kali kedatangan Bella ke Kuala Lumpur, Aleesya teruja bertemunya. Ketika itu, Aleesya memanggilnya 'Bonti' (singkatan bonda Aunty)," katanya kepada BH Online.

Emran dan Bella, iaitu pelakon popular Indonesia, dinikahkan bapa Bella, Busye Amir dengan mas kahwin sebanyak RM300 di sebuah hotel di sini, Jumaat lalu.

Erra mengaku bersyukur Aleesya gembira dengan kehadiran Bella dalam hidup bapanya.

"Saya tak mahu ada jurang antaranya dengan Bella. Biar anak saya ada sebuah keluarga yang lengkap," katanya.

Dalam perkembangan lain, watak anggota polis nampaknya terus 'melekat' dalam portfolio Erra.

Selepas menghidupkan watak Inspektor Maria dalam drama My Darling Inspektor Danial dengan Aaron Aziz, Erra menyarung pakaian seragam sama untuk drama Gerak Khas musim baharu.

Membangkit nostalgia, kedua-dua drama itu diterbitkan Skop Production Sdn Bhd yang turut menghasilkan filem Gerak Khas dan Maria Mariana lakonan Erra.

Teruja kembali ke set, Erra bersyukur terus diberi kepercayaan memegang watak anggota polis.

"Saya senang dengan watak itu. Ibarat kembali ke zaman dulu apabila saya memegang watak sama.

"Sebenarnya, ketika ditawarkan berlakon dalam My Darling Inspektor Danial, saya tidak tahu akan diberi watak inspektor.

"Ketika ini, saya sedang menghabiskan penggambaran musim baharu drama Gerak Khas. Disebabkan membabitkan siri panjang, saya akan menjalani penggambaran hingga akhir tahun ini," katanya yang memegang watak Asisten Superintendan Jeslina dalam drama kepolisan itu.

9728 dibaca
Berita Harian X