Isnin, 11 September 2017 | 5:14pm
JURI, Syafinaz Selamat (kiri), Datuk Ramli MS dan Ziana Zain (kanan) di konsert Akademi Fantasia (AF) Megastar di Royal Teater Shah Alam. - Foto Zunnur Al Shafiq

'Kalau tak boleh terima, selamat berjaya'

SHAH ALAM: Berpegang niat menegur demi kebaikan, namun lain pula jadinya apabila komen dilayang, tidak diambil peduli.

Itulah yang dihadapi penyanyi berpengalaman, Ziana Zain apabila merasakan tegurannya sebagai juri jemputan AF Megastar, tidak diterima segelintir peserta program realiti terbitan Astro itu.

"Saya menjalankan tugas dan sudah menyusun ayat sebaik mungkin ketika mahu menegur.

"Saya faham perasan apabila dikritik, tetapi seikhlasnya, apa yang saya nyatakan adalah demi kebaikan.

"Saya perlu jujur dalam memberikan kritikan... Bagi saya, semua itu lumrah jika mahu berjaya. Kalau tidak boleh terima, saya ucapkan semoga berjaya," katanya kepada BH Online.

Selepas dua minggu berlangsung, ada peserta peringkat AF Megastar Homecoming 1 dan 2 dilihat menunjukkan sikap acuh tak acuh apabila ditegur Ziana sebaik selesai membuat persembahan.

Akui Ziana, dia pernah dihentam dan dikritik ketika memulakan kerjaya nyanyian hampir tiga dekad lalu.

Namun, penyanyi Madah Berhelah ini menerima perkara itu sebagai pengajaran, malah dirinya terus relevan.

Ziana memberitahu, dia tidak menanggung rugi, sebaliknya sikap artis terbabit tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

Pada program AF Megastar, Ziana ditemani juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat, mengadili persembahan peserta.

57701 dibaca
Berita Harian X