Ahad, 3 September 2017 | 11:41pm
BINTANG Akademi Fantasia (AF), Bob. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
BINTANG Akademi Fantasia (AF), Idayu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Bob, Idayu menyerlah dalam konsert AF Megastar

SHAH ALAM : Dua bintang Akademi Fantasia (AF), Bob dan Idayu tampil menyerlah dalam persembahan konsert pertama AF Megastar yang berakhir di sini, sebentar tadi.

Bekas peserta AF musim kedua dan ketiga itu mendapat pujian juri sebaik mereka membuat persembahan.

Juri tetap menegaskan peserta perlu memenuhi kriteria megastar yang membawa maksud 'besar' dalam konteks penghibur.

"Saya melihat anda semua memenuhi kriteria yang disebut sebagai megastar dan mempunyai kualiti pada tahap itu," kata Datuk Ramli MS selaku juri tetap.

Seorang lagi juri tetap iaitu penyanyi dan guru vokal, Syafinaz Selamat bersetuju dengan Ramli mengenai kriteria yang perlu ada dalam setiap peserta.

"Kami bukan mengkritik kerana tidak suka. Tetapi kami melihat kredibiliti ands sebagai artis berpengalaman yang dilahirkan daripada program ini," katanya.

Syafinaz turut memuji persembahan Bob yang mendendangkan lagu Bukan Cinta Biasa. Menurut Syafinaz, Bob memberi justifikasi kepada karya itu dan menyampaikannya dengan baik.

Sementara itu, Ziana Zain selaku juri jemputan meminta penggemar muzik untuk membuka minda dan menilai penyanyi menerusi lagu Hurt dendangan Idayu.

"Tiada apa yang hendak saya komen dengan persembahan awak pada malam ini. Saya berharap mereka di luar sana dapat mengubah persepsi dan tidak hanya menilai daripada aspek luaran semata-mata," katanya.

Seramai 24 artis bertanding pada AF Megastar membabitkan bekas juara dan peserta daripada 13 musim program realiti itu.

9359 dibaca
Berita Harian X