Rabu, 9 Ogos 2017 | 6:46pm
HAFIZ Hamidun bersama isteri Siti Arifah Amin atau lebih dikenali Joy Revfa. - Foto Hazreen Mohamad

Rumahtangga Joy Revfa dilanda badai?

KUALA LUMPUR: Isteri Hafiz Hamidun, Joy Revfa, mengaku ramai bertanya mengenai status perkahwinannya dengan penyanyi terbabit yang dikatakan sedang dilanda badai.

Enggan mengulas lanjut, Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, bagaimanapun memberitahu kesibukan kerja membuatkan hubungan mereka sedikit renggang.

"Saya tidak mahu komen panjang. Ramai yang sudah tanya (berkenaan masalah rumah tangga).

"Kalau nak cakap mengenai bahagia, semua orang inginkan kebahagiaan. Cuma kerjaya masing-masing membuatkan kami terlalu sibuk.

"Saya mahukan keluarga bahagia, tetapi apakan daya," katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Tiga hari lalu, usahawan kosmetik itu seolah-oleh memberi bayangan mengenai pergolakan dalam rumah tangganya menerusi muat naik video lagu Despacito yang dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi wanita dalam bahasa Melayu.

Antara lain, lirik lagu itu berbunyi: "Ku keliru, jujur aku katakan aku keliru, sejak pertama kali kita bertemu, ku fikir ku tahu apa yang ku mahu."

Video berkenaan diiringi dengan status berbaur sedih, 'Seharusnya...lebih baik bersabar dari terburu-buru dan terus keliru..'

Kemudian Joy turut memuatnaik paparan skrin perbualannya dengan Heliza Helmi yang menyifatkan penyanyi dan pelakon itu antara sahabat yang sentiasa menjadi penyejuk hatinya ketika beliau berduka.

Joy dan Hafiz diijabkabulkan dalam majlis di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, pada 1 Mei lalu.

88026 dibaca
Berita Harian X