Isnin, 17 Julai 2017 | 8:23pm

Hero 'Baby Driver' jamah durian, nangka

KUALA LUMPUR: Pengalaman pertama merasai keenakan durian dan nangka dikongsi bintang Baby Driver, Ansel Elgort, ketika bertemu wakil media dari seluruh Asia Tenggara, di sini.


Pengarah Filem Baby Driver, Edgar Wright (dua dari kanan) bersama Pelakon Baby Driver, Ansel Elgort (kanan) dan Lily James pada sidang media Filem Baby Driver yang diadakan di The Ritz Carlton. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Elgort, 23, berkata cubaan pertama menikmati raja buah itu tidak mengecewakan malah mencetuskan deria rasa yang menakjubkan.

"Saya seronok berpeluang merasai keenakan durian. Saya turut merasa nangka buat kali pertama. Rasa kedua-dua buah ini sangat lazat, " katanya pada sidang media di ibu negara.

Aktor yang sedang mencipta nama di Hollywood itu diterbangkan ke Kuala Lumpur bersama pelakon pembantu, Lily James, 28, dan pengarah, Edgar Wright bagi mempromosikan filem Baby Driver.

Mengakui pengalaman pertama di Malaysia mengujakan, bintang muda yang bakal menghasilkan album sulung itu turut memaparkan gambar kunjungannya ke Batu Caves dan Genting Highlands melalui laman sosial.

Paling menarik adalah foto yang memaparkan aksi bersahaja Elgort melilit Jalur Gemilang dilengkapi keterangan berbunyi:

"Bangun tidur di Malaysia... Tayangan perdana filem Baby Driver esok (hari ini) di Pavilion".

Selain Elgort, filem aksi mengenai sekumpulan pengatur jenayah terancang yang menyaksikan Elgort membawa watak pemandu kereta bernama Baby yang ditugaskan melaksanakan kerja akhir berbahaya demi keselamatan kekasihnya, Deborah (James).

Filem arahan Wright yang sarat elemen lagu dan muzik dijadual ditayangkan di seluruh negara, Khamis ini.

Ia turut membariskan Kevin Spacey, Jamie Foxx serta Jon Hamm.

1642 dibaca
Berita Harian X