Khamis, 17 Mei 2018 | 2:14pm
DOUGLAS ketika menerima pengiktirafan pada The World Media Festival 2018 di Hamburg, Jerman, semalam.

ABPBH 3.0 raih anugerah perak di Jerman

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sekali lagi membuktikan kewibawaannya apabila memenangi anugerah perak Intermedia Globe bagi kategori Berita : Promosi Imej Stesen pada acara The World Media Festival 2018 di Jerman.

Kejayaan dicapai melalui penganjuran ABPBH 3.0, Mei tahun lalu, yang meraikan tiga dekad anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, ABPBH 3.0 dijayakan atas semangat kerjasama berkumpulan.

"Kami berterima kasih kerana kejayaan ini membabitkan kerjasama berkumpulan tenaga kerja yang profesional dan kreatif.

"Semua pihak berusaha memastikan acara tahunan anjuran BH itu berlangsung dengan cemerlang hingga meraih jumlah tontonan 5.5 juta pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada acara yang berlangsung di Hamburg, semalam, keunggulan Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sebagai peneraju industri penyiaran terbukti apabila membawa pulang tiga anugerah emas dan satu anugerah perak.

Tiga anugerah emas Intermedia Globe dimenangi GO GO Wonderful bagi kategori Dokumentari : Promosi Imej Stesen; Golden Awards ntv7 (Promosi Jualan: Pengurusan Acara) dan Piala Malaysia 2017 (Web: Pengurusan Acara & Webcasts Secara Langsung).

Satu lagi program MPTN, Jom Heboh 2017 memenangi anugerah perak Intermedia Globe bagi kategori Dokumentari.

Semua trofi diterima Pengarah Kreatif, Jabatan Perkhidmatan Kreatif, MPTN, Douglas Khoo.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MPTN, Johan Ishak berkata, trofi The World Media Festival 2018 yang dimenangi dianggap pengiktirafan terhadap kebolehan Media Prima Berhad (MPB) menyediakan kandungan berkualiti dan menepati piawaian antarabangsa.

"Pastinya anugerah ini menjadi pemangkin untuk terus berdaya saing dan berusaha dalam memberi yang terbaik untuk setiap program yang diterbitkan.

"Sebagai penyiar utama di Malaysia, kelebihan kami terletak pada warga kerja yang mampu memberi perkhidmatan dan kualiti kerja terbaik kepada pengiklan," katanya.

Johan berkata, faktor kekuatan platform media tradisional dan penguasaan digital syarikat yang giat dilaksana membolehkan mesej pelanggan disebarkan dengan lebih menyeluruh.

"Pelanggan menikmati kelebihan iaitu kepakaran barisan tenaga kerja kami yang sangat komited dalam melaksanakan sesuatu kempen dan menyampaikan mesej berkesan kepada pengguna," katanya.

The World Media Festival adalah pertandingan bagi pengamal media di peringkat global yang dianggap acara paling berprestij dalam dunia komunikasi media.

1182 dibaca
Berita Harian X