Ahad, 15 April 2018 | 9:55am
DARI kiri; Liza Hanim, Misha Omar dan Zarul Husin. - Foto NSTP
NORA Ariffin. - Foto NSTP
DAYANG Nurfaizah. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Penyanyi lama bakal beri saingan

PUTRAJAYA: Kemunculan semula beberapa penyanyi berpengalaman bersama lagu baharu masing-masing pada tahun ini dijangka memberikan persaingan kepada artis muda yang sedang mencipta nama.

Penerbit Eksekutif program Muzik Muzik 33 (MM33), Nurul Huda Khalid, berkata kehadiran bintang terbabit bukan sekadar mempelbagaikan lagi industri muzik, malah turut memperhebatkan perebutan tempat ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Jika dilihat senario muzik pada 2016, ia lebih menjurus kepada lagu jiwang. Tahun lalu pula, banyak lagu penyanyi muda atau BBNU (budak baharu nak up) yang menjadi pilihan.

"Saya lihat pada tahun ini, kehadiran penyanyi senior yang hebat bersama lagu baharu masing-masing akan membuatkan industri muzik lebih pelbagai.

"Saya berharap, AJL akan datang juga dapat menampilkan penyanyi lama, di samping artis baharu. Ia sudah tentu akan menjadikan program itu lebih menarik," katanya ketika ditemui pada Showcase MM33 di Putrajaya.

Selain Dayang Nurfaizah yang aktif memperkenalkan lagu atau single terkini, antara penyanyi lama lain yang muncul atau bakal tampil dengan dendangan baharu ialah Nora Ariffin, Liza Hanim, Zarul Husin dan Misha Omar.


NORA Ariffin. - Foto NSTP

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan TV3 mengembalikan pencalonan lagu berdasarkan kategori pada AJL akan datang, beliau berkata, ketika ini perkara itu sukar untuk direalisasikan.

Menurut Nurul Huda, pendekatan berkenaan juga mungkin menyukarkan proses pemilihan lagu berkualiti.

"Agak susah sebenarnya jika kita kembali kepada pemilihan secara kategori. Bagi kategori pop rock dan balada, mungkin kita tidak berdepan banyak masalah.

"Berdasarkan kategori, hanya empat lagu dalam setiap genre akan dipilih ke AJL. Masalah, jika ada banyak lagi lagu yang bagus dan berkualiti, sayang pula rasanya andai ia tidak dicalonkan sekali.

"Bagi Irama Malaysia pula, belum ramai artis yang tampil dengan genre begitu. Bimbang juga jika mereka menghasilkan lagu dalam kategori terbabit semata-mata untuk bertanding. Kami tidak mahu perkara sedemikian terjadi," ujarnya.

Mengenai Showcase MM33, katanya, ia diadakan sebagai episod khas dan akan disiarkan pada setiap hujung bulan.

Pada sesi rakaman yang diadakan semalam, program itu diacarakan oleh Haziq dan Nana Mahazan selaku hos jemputan. Showcase pada hari ini pula menggandingkan Sherry Alhadad dengan Fizie (Hot FM). Masing-masing akan disiarkan pada 30 April dan 28 Mei depan.

Pada showcase terbabit, barisan artis yang menjayakan persembahan terdiri daripada Ara Johari yang menyanyikan lagu Bunga, Ariff Bahran (Kata Akhirmu), Projector Band (Meskipun Kau Tahu), Ryan Deedat dan Sandra (Salimah) serta Zarul (Ramalanku Benar Belaka).

1857 dibaca
Berita Harian X