Rabu, 14 March 2018 | 4:21pm
BARISAN mentor dan bakal protege pada sidang media program Mentor Otai di ibu kota, semalam. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Alina, Elvira antara peserta Mentor Otai

KUALA LUMPUR: Penyanyi profesional, Alina Hassan dan Elvira Arul, antara dua peserta terpilih menjayakan program Mentor Otai yang akan memulakan siaran pengenalannya, Ahad ini, di TV3.

Alina, bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pernah merakamkan empat album, menjadi protege kepada Siti Sarah, manakala Elvira yang juga penyanyi latar dan berpengalaman menjayakan persembahan teater muzikal Dreamgirls di Istana Budaya, lima tahun lalu, berada di bawah bimbingan Misha Omar.

Mengulas pemilihan Alina sebagai seorang daripada tiga protegenya, Sarah, 33, mengakui ia cabaran besar buat beliau.

"Saya akui ramai yang sangsi dengan keputusan memilih Alina sebagai seorang daripada protege, tetapi saya percaya ada sesuatu dalam dirinya yang boleh dicungkil dan dipamerkan kepada umum.

"Pada masa sama, walaupun dia pernah mempunyai album, tetapi ia bukan bermakna tugas membimbingnya menjadi lebih mudah. Banyak benda yang perlu saya gilap dan ubah," kata penyanyi Kesetiaan ini ketika ditemui pada sidang media Mentor Otai di sebuah pusat hiburan terkemuka, di sini.

Sementara itu, Misha, 38, pula menjelaskan beliau ingin membuka ruang lebih besar buat bakal anak didiknya itu.

"Dia seorang penyanyi yang berbakat, cuma tidak diberikan peluang dan ruang untuk mengetengahkan kemampuan diri.

"Selain itu, saya juga memilih Elvira atas faktor vokalnya yang hebat. Bersama pengalaman yang ada, saya akan cuba untuk menunaikan impiannya dalam bidang muzik," kata Misha.

Selain Sarah dan Misha, dua artis lain yang turut terbabit sebagai mentor ialah Tam Spider dan Zarul Husin.

Program pertandingan nyanyian ini bakal menyaksikan artis serba boleh, Mark Adam, dan komposer terkenal, Edry Abdul Halim, bertindak sebagai juri tetap, manakala penyampai Hot FM, Haziq Hussni serta penyanyi, Elly Mazlein, pula sebagai hos.

Tugas selaku pengarah muzik dipegang oleh Faizal Uzir atau Lok U.

Mentor Otai akal dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada setiap Ahad jam 9 malam.

8653 dibaca
Berita Harian X