Sabtu, 24 Februari 2018 | 11:17pm
ANTARA peminat yang hadir pada konsert Festival GegaRia Edisi Ketiga anjuran Media Prima Berhad di perkarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Asyraf Hamzah
ANTARA peminat yang hadir pada konsert Festival GegaRia Edisi Ketiga anjuran Media Prima Berhad di perkarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Asyraf Hamzah

Konsert GegaRia hangatkan Kuantan

KUANTAN: Lebih 5,000 membanjiri perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini malam ini, bagi menyaksikan konsert festival hipster GegaRia.

Selepas kehangatan dicipta di dua lokasi terdahulu, Shah Alam dan Johor Bahru, peminat di bandar ini juga tidak mahu kalah apabila memberikan sambutan cukup hebat kepada acara anjuran Media Prima Berhad itu.

Sebahagian peminat, umpamanya, sudah memenuhi lokasi persembahan sejak awal petang walaupun konsert hanya bermula kira-kira jam 8 malam. Sepanjang hari, kira-kira 30,000 pengunjung memeriahkan Festival GegaRia edisi ketiga.

Sekalipun mengekalkan barisan artis sama dengan dua lokasi sebelum ini, kehadiran Noh Salleh, De Fam, Bunkface, Kugiran Masdo dan Akim & The Majistret tetap dinanti.

Konsert yang dihoskan oleh penyampai Kool FM, Haiza dan Muaz, dibuka tirainya oleh trio wanita jelita, De Fam. Mereka menghiburkan peminat dengan dua lagu termasuk Supergirls yang memperkenalkan nama kumpulan terbabit di persada muzik.

Kelincahan tiga anggotanya, Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana, beraksi di pentas sememangnya membuatkan khalayak terpegun.

Kehangatan malam kemudian diteruskan oleh Noh Salleh. Vokalis kumpulan Hujan itu yang mempunyai aura tersendiri menghadiahkan penonton dengan tiga lagu sebagai hiburan. Memilih Kotak Hati, Dugaannya dan Angin Kencang, Noh seperti menjampi penonton untuk terus leka dengan persembahannya.

Selepas suami Mizz Nina itu meninggalkan pentas utama, ia tidak lama dibiarkan kosong apabila Akim & The Majistret mengambil giliran menyampaikan beberapa lagu popular mereka.

Kali ini, Akim dan teman sekumpulan memilih lagu Stereotype, Potret, Obses dan Lagu Untuk Laila untuk memukau peminat mereka.

Keriuhan terus terasa sebaik saja Kugiran Masdo yang semakin mendapat tempat di hati penggemar muzik naik ke pentas. Saban hari mengumpulkan peminat baharu, kumpulan ditubuhkan pada 2015 itu membuatkan peminat menyanyi dan menari bersama mereka sepanjang persembahan berlangsung.

Tegar dengan konsep muzik 60-an, Kugiran Masdo mempersembahkan empat lagu iaitu Teruna Dan Dara, Bercanda Di Malam Indah, Amoi Cantik dan Malam Pesta Rock & Roll. Tampil kemas di pentas, empat pemuzik terbabit bagai mengajak penonton kembali ke pesta muda-mudi nan meriah pada dekad terdahulu.

Lebih istimewa, peminat mereka sempat menyanyikan selamat hari jadi kepada vokalis kumpulan itu, Ali Sariah.

Sebelum persembahan kumpulan berkenaan berakhir, Noh tiba-tiba menyertai mereka untuk mempersembahkan lagu popular Hujan, Aku Skandal. Suasana sememangnya hangat dengan gabungan dua artis terbabit.

Kumpulan Bunkface pula menutup konsert dengan Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku dan Revolusi. Anggotanya, Paan, Youk dan Sam, nyata menoktahkan persembahan dengan seribu kenangan indah buat penonton yang hadir.

Konsert Festival GegaRia di Kuantan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook BH.

Bagi maklumat lanjut mengenai festival ini, orang ramai boleh ke Facebook atau Instagram, GoGegaRia.

607 dibaca
Berita Harian X