Sabtu, 13 Januari 2018 | 1:27pm

Terowong gamit kejayaan negara

SHAH ALAM: Kontena di satu sudut di padang tempat letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City menarik perhatian pengunjung Festival GegaRia.

Terowong Kenangan berukuran 12 meter x 5 meter memamerkan gambar dan ilustrasi menarik mengenai Malaysia dari 1950 hingga 2010.

Gambar terbabit hasil karya jurugambar The New Straits Times Press (NSTP).

Antara yang dipamerkan ialah koleksi gambar artis popular 1950-an seperti seniman agung Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Aziz Sattar, Mariani, Ibrahim Pendek yang disusun dalam bentuk 'wall of fame'.

Menyoroti terowong masa ini juga ialah gambar kejayaan negara seperti pengisytiharan kemerdekaan dan penganjuran Sukan Komanwel, selain gambar infrastruktur negara.

Terdapat juga 'prop' seperti basikal dan set televisyen lama yang menjadi perhatian pengunjung untuk merakamkan gambar dan berselfie.

Pereka AdStudio NSTP, Syed Mohd Najmi Syed Abdul Malik, berkata gambar terbabit termasuk gambar lama dalam bentuk hitam putih disunting semula dengan elemen 'pop art' bagi menarik perhatian golongan muda.

"Gambar yang diperoleh disunting semula dengan konsep yang lebih menarik dan hipster. Gambar juga dipaparkan secara interaktif dan digital menerusi persembahan slide.

"Jadi konsep yang dibawakan dalam bentuk kreatif ini sememangnya menenuhi cita rasa golongan muda yang menjadi sasaran utama penganjuran Festival GegaRia," katanya.

Syed Mohd Najmi berkata, pengunjung yang hadir memberi maklum balas positif terhadap inisiatif itu.

"Mereka suka konsep penceritaan yang kita bawa. Jadi, kita akan kekalkan konsep ini untuk jelajah GegaRia yang seterusnya.

"Namun, mungkin ada penambahbaikan dan kelainan yang akan dilakukan seperti susun atur dan gambar baharu yang akan dipamerkan," katanya.

Festival hari ini yang pertama dan selepas ini, Festival GegaRia akan menjelajah ke Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru (3 Februari) dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada 24 Februari.

378 dibaca
SEBAHAGIAN daripada pengunjung melihat pameran di dalam Throwback Tunnel di Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X