Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:10am
GAMBAR fail, pelakon Leonardo DiCaprio semasa perasmian filem dokumentari "Before the Flood" di Paris di Teater du Chatelet di Paris, Perancis pada 17 Oktober 2016. - Foto REUTERS

Leonardo DiCaprio bintangi filem pembunuh bersiri

LOS ANGELES: Leonardo DiCaprio bakal membintangi filem berkisarkan kisah benar pembunuh kejam Charles Manson, namun tidak membawakan watak penjenayah digeruni di Amerika itu, lapor penerbitan hiburan Hollywood, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Quentin Tarantino, berkata ia bukan filem biografi pembunuh bersiri berkenaan, sebaliknya mengambil latar masa tragedi itu berlaku, iaitu ketika musim panas 1969 sewaktu pengikut Manson melakukan pembunuhan berskala besar di selatan California.

Manson, antara penjenayah terkenal abad ke-20, mati dalam penjara November lalu pada usia 83 tahun. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan merancang pembunuhan kejam itu yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk aktres, Sharon Tate.

Portal hiburan, Deadline and Variety melaporkan, aktres Australia, Margot Robbie bakal membawakan watak Sharon Tate, manakala pelakon terkenal Tom Cruise, Brad Pitt, Al Pacino dilaporkan berminat untuk turut serta dalam filem itu.

Filem terbitan The Sony Pictures berkenaan akan ditayangkan di pawagam pada 9 Ogos tahun depan, iaitu bertepatan 50 tahun peristiwa Tate dan empat rakannya ditikam sebelum mati ditembak. - Reuters

427 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »