Isnin, 8 Januari 2018 | 8:12pm
SEBAHAGIAN anggota Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) ketika mengadakan lawatan ke Stesen Televisyen Indosiar di Jakarta.
PRESIDEN SENIMAN, Zed Zaidi mengetuai lawatan tiga hari ke Jakarta.

Jadi ahli bersekutu SENIMAN sebelum datang: Zed

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengadakan kunjungan hormat ke Jakarta dalam usaha membantu memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan Indonesia, khususnya menerusi industri kreatif kedua-dua negara.

Lawatan selama tiga hari, bermula 5 Januari lalu, dengan diketuai Presidennya, Zed Zaidi, itu turut mencari penyelesaian isu lambakan artis dari negara seberang itu, selain mewujudkan kerjasama strategik dua hala menerusi platform 'Diplomasi Kebudayaan'.

Menerusi kenyataan dikirimkan kepada BH Online, hari ini, sepanjang berada di ibu kota negara itu, wakil SENIMAN sempat bertemu Persatuan Karyawan & Televisi Indonesia, Demi Film Indonesia, Persatuan Produser Filem Indonesia dan beberapa lagi organisasi berkaitan, selain stesen televisyennya.

Menurut Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah, dalam lawatan selama tiga hari ini juga, SENIMAN dapat berkongsi permasalahan membabitkan kemasukan artis atau pelakon dari Indonesia dengan memperkenalkan akta dan perundangan, polisi dan dasar, dokumentasi, permit, kerjasama produksi, pelaburan dan ekosistem industri kreatif.

"Kunjungan itu juga adalah bagi memperjelaskan kepada pemain atau pengendali industri kreatif di Indonesia, supaya mereka mematuhi syarat menjadi ahli bersekutu SENIMAN ketika ingin menjalankan sebarang aktiviti seni di Malaysia.

"Selain mematuhi undang-undang mahupun akta, mereka juga perlu mempunyai permit sah sebelum ketibaan masing-masing di Malaysia. Manakala, SENIMAN akan memainkan peranan sebagai jambatan kepada mereka dengan agensi kerajaan yang terbabit," katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Katanya, pihak SENIMAN juga menjemput wakil persatuan terbabit untuk membuat kunjungan balas pada Mei depan sebagai menghargai jasa atas layanan baik sepanjang mereka berada di kota terbabit.

1019 dibaca
Berita Harian X