Sabtu, 11 November 2017 | 2:07pm
Allahyarham Ismail Mahmud.

Pelakon Ismail Mahmud meninggal dunia

KOTA BHARU: Pelakon yang popular dengan watak sebagai Tahir dalam filem Jangan Tinggal Daku 1971, Ismail Mahmud, meninggal dunia di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, jam 6.45 petang semalam.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 73 tahun di sisi keluarganya akibat angin ahmar, sakit kencing manis dan buah pinggang.

Anak arwah, Nur Amalina, 24, berkata arwah sudah 30 tahun menderita penyakit kencing manis, sebelum mengidap masalah buah pinggang setahun lalu dan angin ahmar baru lapan hari lalu.

"Pada mulanya, arwah menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Anis dua hari lalu memandangkan rumah kami lebih dekat di Selising, Pasir Puteh.

"Arwah juga sudah menjalani rawatan mencuci buah pinggang tiga bulan lalu, dan CT Scan beberapa hari lalu di HRPZII.

"Bagaimanapun, kami reda dengan pemergian ayah, ...jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jawa, Pasir Puteh, tengah hari ini," katanya ketika dihubungi.

Jenazah selamat dikebumikan pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Rahim Jailani, berkata dia mengetahui berita sedih itu daripada rakannya malam tadi.

"Arwah seorang yang baik dan sangat disenangi," katanya.

Arwah yang meninggalkan seorang balu dan sembilan anak pernah aktif aktif berlakon di bawah arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan S Kadarisman.

Selain Jangan Tinggal Daku arahan P Ramlee, Allahyarham juga pernah berlakon dalam filem Dr Rushdi (1970) dan Belang Pertanda (1971).

8282 dibaca
Berita Harian X